Berita Utama

Hak asasi manusia di Malaysia akan dibuat ikut acuan tempatan: Pengerusi SUHAKAM

Hak bersesuaian dengan adat, budaya serta eleman tempatan negara kita

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 6 Zulhijjah 1443H, Rabu – Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) yang baharu, Prof Datuk Dr Rahmat Mohamad memberi jaminan hak asasi manusia di negara ini akan dibuat mengikut acuan tempatan dan tidak lagi berpaksikan budaya Barat atau ‘western centric’.

Beliau berkata, walaupun perlu mengekalkan tanggungjawab mempertahan hak asasi manusia di bawah Perlembagaan Persekutuan namun ia akan lebih ke arah acuan sendiri.

“Hak asasi manusia negara ini dibuat bagi menggambarkan Malaysia sendiri dan bersesuaian dengan adat dan budaya tempatan negara kita.

“Walaupun hak asasi manusia hari ini perlu dilihat dalam perspektif yang lebih besar namun kita perlu mengikut adat resam dan budaya tempatan berlandaskan elemen tempatan.

“Apa-apa yang kita setuju atau hak asasi manusia itu mestilah mempunyai kepentingan dari segi ikatan agama, batas-batas agama, adat resam dan kepercayaan selain tidak terlalu eurosentrik, ” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau menambah, walaupun agama Islam adalah agama rasmi di negara ini namun perlu mengambil kira kepentingan agama-agama lain.

“Kita maklum agama Islam adalah agama rasmi negara, tetapi agama lain pun ada seperti Kristian, Buddha, Hindu dan setiap agama pun melihat benda yang baik, atau bertentangan kemanusiaan, itu penting untuk kita melihat perkara tersebut,” katanya.

Prof Rahmat dalam masa sama menegaskan, ketika ini perkara yang lebih penting dan perlu diberi pemerhatian adalah merangkumi hak asasi untuk hidup atau ‘right to live’ dan hak asasi untuk mendapatkan ekonomi yang baik untuk rakyat.

“Saya nampak dalam keadaan ekonomi tidak menentu, hak asasi golongan berpendapatan rendah (B40) perlu diketengahkan pada masa ini.

“Pada saya perspektif hak asasi itu harus dilihat, sebab golongan B40 ini sedang dalam keadaan yang amat sukar untuk hidup walaupun mereka menerima bantuan daripada kerajaan.

“Jadi tugas SUHAKAM lebih besar dengan madah yang baharu dan lebih luas dalam pasca pandemik termasuk hak untuk hidup dari segi ekonomi dan juga sosial,” katanya.

Katanya lagi, apabila Perdana Menteri mengangkat konsep Keluarga Malaysia bermakna semua masyarakat dalam negara ini perlu inkslusif.

“Tugas SUHAKAM juga perlu bertanggungjawab untuk right to live ini sebagai madah baharu SUHAKAM, sebab kerangka lebih luas kerana selama ini kita hanya melihat hak asasi dari perspektif Perlembagaan Persekutuan semata-mata,” katanya.

Beliau memberi jaminan SUHAKAM di bawah pimpinannya akan membawa nafas baharu yang lebih segar.

“Semestinya berdepan cabaran yang hebat dan perlu beri masa untuk pastikan hak asasi manusia di negara ini terjamin,” tegas beliau.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button