Berita UtamaDunia

‘Jangan lupakan kami’: Tahanan Palestin rayu jemaah haji doakan mereka

‘Sampaikan salam kami kepada negara Arab dan Islam’

RAMALLAH, 6 Zulhijjah 1443H, Rabu – Puluhan tahanan Palestin menulis surat penuh emosi yang ditujukan kepada jemaah haji tahun ini, merayu agar mereka mendoakan negara itu bebas daripada penjajahan dan pencerobohan rejim pengganas Israel.

Surat yang bertajuk “Jangan lupakan kami” itu ditujukan kepada jemaah haji pada Selasa, kira-kira dua hari sebelum mereka mula menunaikan ibadah haji di kota suci Makkah di Arab Saudi.

“Dari dalam penjara pendudukan, bilik kuarantin dan wad pengasingan, kami menyampaikan salam kami kepada negara Arab dan Islam, terutama jemaah haji kami yang dikasihi.

“Jangan lupakan kami dalam doa anda,” tulis mereka beserta tandatangan di bawah dengan nama Zakaria Zubeidi, Mahmoud Ardah, Mohamed Qassem Ardah dan Munadil Yaqoub Nfeiat.

Empat daripada mereka adalah antara enam banduan Palestin yang meloloskan diri dari penjara di Gilboa, penjara dengan keselamatan maksimum terletak di bahagian utara wilayah diduduki Israel pada September tahun lalu.

“Hari ini, kami bercakap dengan anda melalui mesej bertulis dan esok kami akan bercakap dengan anda secara berdepan dan (akhirnya) bertemu anda di Masjid al-Aqsa.

“Semoga kami tabah, berjaya dan semangat dalam menghadapi kesukaran serta kebebasan kami dan mengakhiri kesedihan dan dukacita kami. Semoga Allah menerima amal dan doa kami dan kamu,” tulis para tahanan sambil mengharapkan pembebasan Masjid al-Aqsa, yang merupakan tapak ketiga paling suci Islam. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button