Berita UtamaDunia

Pelajar perempuan di Afghanistan perlu ke sekolah, gesa bekas Presiden

Kerajaan perlu bergerak ke hadapan seiring dengan pendidikan

KABUL, 6 Zulhijjah 1443H, Rabu – Pelajar perempuan di Afghanistan perlu kembali ke sekolah secepat mungkin, kata bekas Presidennya, Hamid Karzai kepada Al Arabiya.

Beliau menegaskan bahawa pendidikan diperlukan untuk membantu negara yang dilanda perang itu ‘bergerak ke hadapan’ dan mengurangkan pergantungannya kepada dunia.

“Isu yang paling penting dan mendesak ialah kembalinya kanak-kanak perempuan Afghanistan ke sekolah dari darjah 6 hingga 12.

“Ini adalah isu dan keputusan rakyat Afghanistan yang memerlukan kerajaan semasa membuat keputusan supaya Afghanistan dapat bergerak ke hadapan seiring dengan pendidikan.

“…supaya Afghanistan mampu berdiri di atas kakinya sendiri daripada menjadi sebuah negara yang memerlukan kuasa dunia, daripada menjadi sebuah negara yang rakyatnya melarikan diri, itu harus dihentikan,” katanya.

Bekas Presiden itu yang memerintah dari tahun 2002 hingga 2014 menambah, model tadbir urus perkongsian kuasa ‘tidak perlu’ selagi kerajaan sementara Taliban mendapat persetujuan rakyat Afghanistan.

“…Keseluruhan idea (adalah) untuk membawa perasaan bahawa Afghanistan adalah milik semua rakyatnya dan bahawa kerajaan Afghanistan mewakili semua rakyatnya, dan bahawa ia sedang bergerak ke arah di mana aspirasi rakyat dipenuhi,” katanya.

Karzai berkata, salah satu cara Taliban boleh mendapat persetujuan rakyat negara itu ialah memastikan pelajar perempuan kembali ke sekolah.  

Tegasnya, kerajaan perlu mengambil dasar yang menuju ke arah ‘kemajuan, sara diri dan kesejahteraan ekonomi’ untuk memastikan rasa perpaduan dalam kalangan rakyat.

“…Islam menekankan pendidikan untuk kanak-kanak perempuan, ia memberikan penekanan yang besar kepada pendidikan dan pembelajaran, dan Afghanistan tidak boleh terkecuali.  

“Wanita Afghan itu mematuhi sepenuhnya hijab antara yang terbaik di dunia Barat dalam hal ini. Oleh itu, tidak ada alasan, tidak boleh ada alasan untuk tidak membenarkan perempuan pergi ke sekolah,” katanya.

Komen bekas Presiden itu dibuat selepas mesyuarat tiga hari yang berakhir pada Sabtu yang gagal menangani beberapa isu paling mendesak termasuk pendidikan kanak-kanak perempuan.

Aktivis wanita Afghanistan pada hari Ahad berkata, mereka masih melihat Taliban sebagai pemerintah tidak sah walaupun terdapat pengisytiharan oleh beribu-ribu pengkritik lelaki Afghanistan yang menyokong kerajaan, menurut laporan AFP.

Minggu lalu, mereka menegaskan bahawa wanita akan diwakili pada mesyuarat tiga hari itu, tetapi hanya oleh anak lelaki dan suami mereka. 

Ia telah dihadiri oleh lebih 3,500 lelaki. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button