Berita Utama

Tiada kepentingan lindungi syarikat ladang Musang King terbesar dunia: Sanusi

Arahan henti kerja tanam durian dikeluarkan sejak Julai 2020

BALING, 6 Zulhijjah 1443H, Rabu – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan mempunyai sebarang kepentingan dalam projek ‘perladangan Musang King terbesar di dunia’ di Gunung Inas.

Sanusi sekali lagi menegaskan bahawa pentadbirannya telah menghentikan penanaman buah popular itu pada Julai 2020, beberapa bulan selepas dilantik sebagai Menteri Besar.

“Saya tidak mempunyai kepentingan untuk melindungi syarikat itu. Mereka telah pun menanam anak benih ‘Musang King’ pada kira-kira 600 ekar (242ha) Petak 8 Gunung Inas.

“Jadi, selepas saya memegang jawatan, kita keluarkan arahan berhenti kerja penanaman durian pada Julai 2020,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO negeri, hari ini.

Sanusi berkata demikian bagi menjawab kritikan bahawa pentadbirannya tidak melakukan tindakan secukupnya terhadap ladang Musang King di Gunung Inas.

Terdapat dakwaan bahawa ladang Musang King telah menyebabkan bencana banjir besar di Kupang di sini pada Isnin, meragut tiga nyawa dan menjejaskan 12 kampung.

Menteri Besar juga mengumumkan bahawa negeri itu akan menyediakan sewa enam bulan untuk 15 keluarga yang kehilangan tempat tinggal dalam banjir dan membantu orang lain yang terjejas membina semula kediaman mereka.

“Berdasarkan kemas kini terkini, kita mengenal pasti 15 rumah yang hanyut atau mengalami kerosakan keseluruhan.

“14 lagi rosak teruk dan memerlukan pembaikan besar manakala penilaian sedang dilakukan ke atas rumah lain yang mengalami kerosakan kecil.

“Mereka yang kehilangan tempat tinggal boleh mencadangkan mana-mana tanah milik mereka untuk kita bina rumah baharu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button