Berita Utama

Wang subsidi ditarik, lalu disalur ke mana?

Pemuda PAS minta kerajaan perincikan semua dana yang dijimatkan

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 6 Zulhijjah 1443H, Rabu – Pemuda PAS Kelantan mencadangkan jawatankuasa ditubuhkan kerajaan melakukan semak dan imbang terhadap penggunaan dana yang dijimatkan akibat penarikan subsidi.

Ketua Dewan Pemudanya, Mohamad Kamal Mohamed berkata, ia supaya wang tersebut dapat disalurkan kembali kepada rakyat secara bersasar.

Malah, katanya, pelan penggunaan wang subsidi yang dijimatkan juga perlu diperincikan agar tidak berlaku pembaziran dan penggunaan kepada program-program tak sepatutnya.

Selain itu, jawatankuasa tersebut disyorkan memfokuskan bantuan kebajikan rakyat M40 yang turut memerlukan perhatian melalui suntikan dan insentif munasabah. 

“Kebajikan sektor pendidikan, kesihatan malahan ahli korporat juga tidak boleh diabaikan.

“Menafikan 100 peratus hak T20 dalam isu subsidi juga perlu dinilai semula dengan membuka ruang dan peluang saksama mengikut keperluan masing-masing. 

“Ini kerana mereka merupakan pembayar cukai terbanyak, dan tidak boleh disisihkan dalam arus kenaikan harga barang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tidak hanya tertumpu kepada golongan B40, beliau berkata, seluruh rakyat dalam semua kategori perlu disantuni dalam melawan inflasi.

“Turunkan harga barang dan sama-sama kita atasi inflasi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button