Pendapat

Hukuman pilihan mengganti hukuman mati mandatori: Pandangan awal

Oleh: Tun Abdul Hamid Mohamad

SAYA menggunakan frasa “hukuman pilihan mengganti hukuman mati mandatori” kerana keputusan Jemaah Menteri adalah untuk memberi pilihan kepada hakim untuk memilih hukuman selain daripada hukuman mati, bukan untuk memansuhkan langsung hukuman mati. Saya percaya, penggunaan frasa “pemansuhan hukuman mati mandatori” itulah yang menyebabkan kekeliruan sehingga ia terpaksa dijelaskan oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapannya di Universiti Malaya pada 17 Jun 2022:

“Ramai yang terkeliru tentang pemansuhan hukuman mati mandatori yang diumumkan baru-baru ini, seolah-olah hukuman mati telah dihapuskan.

Kerajaan tidak menghapuskan hukuman mati tetapi bergantung kepada budi bicara hakim untuk menentukan sama ada pesalah tersebut patut dijatuhkan hukuman mati atau hukuman pilihan yang lain.”

Pada 29 Ogos 2019, Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju supaya Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori (Jawatankuasa Khas) ditubuhkan untuk mengkaji secara keseluruhan polisi penghukuman (sentencing policy) bagi menggantikan hukuman mati mandatori dengan hukuman yang lebih wajar, tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

Jawatankuasa tersebut dianggotai oleh pakar-pakar dalam bidang perundangan seperti bekas Ketua Hakim Negara, bekas Hakim Besar Malaya, bekas Peguam Cara Negara, pengamal undang-undang, pensyarah undang-undang daripada Institusi Pengajian Awam terkemuka dan pakar kajian jenayah.

Laporan jawatankuasa khas tersebut dibentangkan kepada Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun 2022. Pada 10 Jun 2022, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), YB Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, dalam kenyataan medianya, antara lain, memaklumkan bahawa Kerajaan secara prinsipnya menerima dan mengambil maklum syor-syor jawatankuasa khas tersebut.

Beliau mengesahkan bahawa Jemaah Menteri telah bersetuju agar penelitian dan kajian lanjut dilaksanakan berkaitan cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu kesalahan di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234] dan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara Mahkamah. Penelitian dan kajian lanjut itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri serta lain-lain Kementerian/Jabatan berkepentingan.

Kerajaan juga akan turut mengkaji kebolehlaksanaan berkaitan hala tuju sistem keadilan jenayah (Criminal Justice System) di negara ini, antaranya seperti pengwujudan prosedur pra-penghukuman (pre-sentencing procedure), penubuhan Majlis Penghukuman (Sentencing Council), pembangunan Garis Panduan Penghukuman (Sentencing Guideline), penubuhan Suruhanjaya Pembaharuan Undang-Undang (Law Commission), pembaharuan institusi kepenjaraan (Prison Reform) dan pelaksanaan hukuman berdasarkan restorative justice.

Bagi saya, keputusan mengadakan hukuman pilihan ini adalah lebih baik daripada memansuhkan hukuman mati langsung. Pembunuhan seorang dengan menikam sekali dalam pergaduhan tidak boleh disamakan dengan pembunuhan berpuluh-puluh orang dengan senjata moden seperti yang berlaku di New Zealand dan kerap berlaku di Amerika Syarikat atau serangan di Lahad Datu yang bersifat pemberontakan atau serangan terhadap sebuah negara berdaulat itu. Adakah kesemuanya akan dikenakan hukuman selain daripada hukuman mati?

Selagi laporan penelitian dan kajian lanjut itu tidak dikeluarkan, kita tidak dapat memberi ulasan ke atas syornya satu per satu kerana kita belum tahu apakah syornya. Dari apa yang kita faham, di mana terdapat hanya satu hukuman, hukuman mati, seperti bagi kes bunuh (seksyen 302 Kanun Keseksaan dan seksyen 39B Akta 234), hukuman pilihan akan ditambah kepadanya untuk memberi pilihan kepada hakim hukuman mana yang hendak dijatuhkannya, sama ada hukuman mati atau yang lainnya.

Bagi kesalahan yang pada masa ini sudah ada hukuman pilihan, mungkin apa yang akan dilakukan ialah mengeluarkan hukuman mati daripadanya dan mengekalkan hukuman lain itu. Jika tidak, untuk apa pindaan dibuat kepadanya sedangkan pilihan di antara hukuman mati dan yang lain sudah pun ada?

Mengenai seksyen 302 Kanun Keseksaan, pada pandangan saya, hukuman mati itu boleh ditambah dengan:

(i) Penjara tidak kurang daripada berapa tahun yang ditetapkan; ATAU

(ii) Sebatan rotan tidak melebihi beberapa kali yang ditetapkan; ATAU

(iii) denda; ATAU

(iv) jika bukan hukuman mati yang dijatuhkan, apa-apa kombinasi terdiri daripada (i), (ii) dan (iii).

Perlu diambil perhatian hukuman denda itu adalah denda seperti di bawah sistem yang ada sekarang iaitu ia dibayar kepada Kerajaan, jika tidak dibayar hukuman penjara tambahan dikenakan. Ia bukan dibayar kepada waris si-mati kerana, jika ia dibayar kepada waris si-mati, mengapa bayaran yang serupa tidak dibuat bagi kesalahan-kesalahan menyebabkan kecederaan dan/atau kesakitan yang mangsanya lebih berhak menikmati wang gantirugi itu kerana merekalah yang mengalami kecederaan dan/atau kesakitan dan masih hidup? Menggunakan dan meluaskan sistem gantirugi kepada kesalahan-kesalahan menyebabkan kecederaan dan/atau kesakitan memerlukan kajian yang lebih luas dan mendalam yang berada di luar terma rujukan sekarang.

Kita juga tidak sepatutnya cuba membawa masuk konsep diyat ke dalam pindaan ini. Sistem diyat adalah satu sistem asing yang memerlukan kajian kesesuaian pelaksanaannya dalam keadaan sekarang. Jika didapati sesuai, keseluruhan sistem itu perlu dipakai bukan hanya setakat mengambil diyat untuk dijadikan satu hukuman dalam sistem sekarang.

Perlu diingati bahawa sistem diyat telah dilaksanakan dalam masyarakat kabilah Arab di mana seluruh kabilah itu akan bermuafakat membayarnya. Masyarakat Malaysia bukan masyarakat berkabilah. Adik beradik pun tidak mengambil hirau hal saudara maranya apatah lagi untuk membayar diyat. Tetapi, saudara mara yang tidak pernah mengambil kisah terhadap si-mati dan keluarganya pun akan keluar untuk menuntut bahagian mereka sebagai waris jika diyat dibayar kepada waris si-mati, dan selepas itu menghilangkan diri.

Mengikut perkiraan Profesor Madya Dr. Siti Zubaidah Ismail dari Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Universiti Malaya, dengan mengambil nilai 100 ekor unta, 1,000 dinar emas atau 10,000 dirham perak, hari ini, diyat bagi kesalahan membunuh boleh mencecah RM1.3 juta. (Diyat bagi kesalahan membunuh di Brunei adalah juga berdasarkan 100 ekor unta, 1,000 dinar emas atau 10,000 dirham perak) Dalam masyarakat Malaysia, orang bukan Islam akan lebih boleh membeli nyawa mereka sedangkan orang Islam akan berebut untuk mendapat diyat saudara maranya yang dibunuh. Itu adalah realiti yang mungkin tidak sedap didengar tetapi saya perlu menyebutnya.

Bezanya fakta kes dalam seksyen 39B Akta 234 dengan seksyen 302 Kanun Keseksaan ialah dalam kes yang pertama disebut tidak ada mangsa yang terlibat. Maka isu denda itu patut disifatkan sebagai gantirugi atau diyat tidak timbul. Hukuman pilihan seperti dalam perenggan (i), (ii), (iii) dan (iv) boleh dibuat. Demikian juga dengan kesalahan-kesalahan lain yang serupa dengan seksyen 39B Akta 234 yang tidak melibatkan kematian manusia.

Mewujudkan semula hukuman pilihan bagi kesalahan mengedar dadah di bawah seksyen 39B adalah menarik. Asalnya hukuman bagi kesalahan mengedar dadah adalah hukuman mati ATAU penjara seumur hidup dan, jika tidak dikenakan hukuman mati, hendaklah dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 15 kali sebatan.

Dalam tahun 1983, hukuman itu digantikan dengan hukuman mati mandatori. Alasan utama yang diberi ialah pengedaran dadah adalah cabaran kepada negara. Pada masa yang sama, Kerajaan pada masa itu tidak puas hati dengan hakim-hakim yang dikatakan mencari helah untuk tidak menjatuhkan hukuman mati. Selepas pindaan itu dibuat, Mahkamah pun menjatuhkan hukuman mati tanpa mempunyai pilihan. Tetapi, hukuman itu tidak dilaksanakan hingga banduan yang sedang menunggu pelaksanaan hukuman mati telah melebihi 1,000 orang.

Sekarang sudah terlalu lewat untuk melaksanakannya. Tidak ada kerajaan yang berani menggantung lebih daripada 1,000 orang banduan sekaligus. Tetapi, pindaan ini, walaupun tidak retrospective, akan mengurangkan penambahan bilangan mereka. Tetapi, bagaimana dengan banduan yang lebih daripada 1,000 orang itu? Mahkamah tidak boleh mengubah hukuman terhadap mereka lagi.

Yang tinggal hanyalah pengampunan. Adakah Lembaga-Lembaga Pengampunan akan menggantikan hukuman terhadap kesemua mereka dengan hukuman pilihan baru ini? Ini tidak adil pula kepada pesalah-pesalah yang dibicarakan selepas pindaan ini dibuat kerana ada di antara mereka yang mungkin dikenakan hukuman mati. Jika Lembaga-Lembaga Pengampunan hendak menggantikan hukuman pilihan kepada sebahagian daripada mereka dan mengekalkan hukuman mati ke atas sebahagian lagi, atas asas apa ia akan dilakukan? Kita serahlah kepada mereka yang bergaji yang dipertanggungjawabkan untuk membuat penelitian dan kajian lanjut itu, memikirkannya.

Saya kurang senang dengan kemungkinan pengwujudan prosedur pra-penghukuman dan penubuhan Majlis Penghukuman jika ia melibatkan orang luar dalam menentukan hukuman yang akan dijatuhkan. Saya berpendapat, orang yang paling arif dalam menentukan hukuman yang sesuai dalam lingkungan yang ditetapkan oleh undang-undang adalah hakim. Mereka membicarakan kes-kes dan menjatuhkan hukuman setiap hari. Keputusan seorang Majistret atau Hakim Mahkamah Sesyen boleh dirayu hingga ke Mahkamah Rayuan, yang terdiri daripada sekurang-kurangnya tiga orang hakim. Keputusan seorang Hakim Mahkamah Tinggi boleh dirayu hingga ke Mahkamah Persekutuan.

Untuk dilantik menjadi seorang Pesuruhjaya Kehakiman, biasanya seseorang Pegawai Kehakiman dan Perundangan telah berkhidmat melebihi 20 tahun di pelbagai kedudukan. Demikian juga seorang peguam swasta, walaupun pendedahan mereka tidak seluas seorang pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan. Tetapi, dengan bantuan hujah peguam dan Timbalan Pendakwa Raya dan penghakiman-penghakiman duluan sebagai panduan mereka dapat memahaminya dengan cepat.

Adalah tidak perlu melibatkan ahli-ahli akademik, orang awam apatah lagi aktivis dalam tugas kehakiman itu. Menjatuhkan hukuman adalah tugas yang lebih mudah daripada membuat keputusan untuk mensabitkan kesalahan, atau tidak. Hukuman dinyatakan dalam undang-undang berkenaan. Terdapat keputusan-keputusan mahkamah-mahkamah yang lebih tinggi untuk menjadi panduan. Hujah-hujah peguam dan Timbalan Pendakwa Raya juga membantu hakim-hakim dalam menjalankan tugas ini. Jika silap, ia akan dibetulkan oleh mahkamah yang lebih tinggi.

Ahli-ahli akademik boleh membantu dengan membuat kajian dan menulis untuk menjadi rujukan.

Mengenai penglibatan orang awam dalam tugas menjatuhkan hukuman, perbicaraan dengan juri boleh menjadi perbandingan. Setelah mencapai kemerdekaan, kita memperkenalkan perbicaraan dengan juri bagi kes-kes yang membawa hukuman mati mandatori. Ia dimansuhkan pada 1 Januari 1995, mengikuti apa yang dilakukan oleh India, Pakistan dan Singapura lebih awal atas alasan utama bahawa ahli-ahli juri itu “susceptible to bias.” Malaysia memberi alasan ia tidak sesuai dengan penduduk yang berbilang bangsa. Memadailah dikatakan “It does not work”.

Mengenai penglibatan activists dalam menjatuhkan hukuman, saya katakan bahawa activists tidak sesuai menjalankan tugas itu. Saya hanya akan memetik apa yang dikatakan oleh seorang Chief Magistrate dari Australia yang saya temui di satu persidangan antarabangsa. Katanya, “We made a big mistake appointing activists as Magistrates. Their judgments are one-sided.”

Melibatkan orang luar akan menyukarkan pengendalian dan melambatkan penyelesaian kes sedangkan faedahnya sangat minima, jika ada pun.

Kita tidak sepatutnya terlalu mudah terpengaruh untuk introduce apa yang ada atau dilakukan di negara lain tanpa mengetahui bagaimana ia berfungsi di negara itu dan kesesuaiannya di negara kita.

Misalnya, kita tentu pernah tertarik dengan pemilihan hakim melalui pilihan raya seperti yang dilakukan di setengah-setengah negeri di Amerika Syarikat. Dalam lawatan saya ke mahkamah Amerika Syarikat, kami diberi taklimat mengenai pelantikan dan pemilihan hakim di sana. Di penghujung taklimat itu saya bertanya hakim itu, jika beliau diberi peluang menggubal semula Perlembagaan Amerika Syarikat, adakah beliau akan mencadangkan hakim-hakim dipilih melalui pilihan raya? “No way,” jawabnya. Kemudian beliau menceritakan mengenai calon-calon yang ditaja oleh syarikat-syarikat besar dalam kempen mereka.

Kami juga diberi taklimat mengenai rasuah di kalangan hakim. Saya bertanya, di antara hakim-hakim yang dituduh di mahkamah kerana rasuah, mana lebih banyak, yang dilantik atau yang dipilih melalui pilihan raya? Penceramah berkenaan menjawab, kesemua tujuh orang hakim yang baru dituduh di sebuah negeri (saya lupa namanya) adalah hakim-hakim yang dipilih melalui pilihan raya. Nampaknya, indah khabar dari rupa.

Kesimpulan

Keputusan yang dibuat oleh Kerajaan bukanlah untuk memansuhkan sama sekali hukuman mati. Ia adalah untuk memberi hukuman pilihan kepada hakim untuk menjatuhkan hukuman lain daripada hukuman mati, di mana sesuai.

Bagi kesalahan-kesalahan yang mempunyai hukuman mati mandatori, hukuman pilihan akan ditambah seperti penjara, sebatan rotan, denda atau mana-mana kombinasi di antaranya.

Bagi kesalahan-kesalahan yang hukuman pilihan sudah pun ada, hukuman mati baginya mungkin ditiadakan.

Membuat keputusan menetapkan hukuman yang hendak dijatuhkan adalah jauh lebih mudah daripada membuat keputusan untuk mensabitkan seseorang tertuduh, atau tidak. Orang yang lebih layak melakukan tugas itu adalah hakim. Orang awam, ahli akademik dan activists lebih baik tidak dilibatkan secara terus dalam tugas itu.

Kita tidak sepatutnya mengaitkan sistem diyat dalam pembaharuan ini.

Kita janganlah terlalu mudah terpengaruh dengan apa yang ada atau dilakukan di negara lain tanpa mengetahui bagaimana ia berfungsi di sana dan kesesuaiannya di sini.

Kita amat suka menubuhkan suruhanjaya, badan, lembaga, jawatankuasa untuk menyelesaikan masalah yang sama menyebabkan pertindihan bidang kuasa dan lain-lain masalah. Untuk mengetahui misalannya, sila baca “Enforcement Agency Integrity Commission – A Critical Analysis” (20 Mei 2013) yang boleh didapati dalam laman-laman web saya.

07 07 2022

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button