Berita Utama

JPJ lancar Op Khas Hari Raya Aidiladha

Pastikan kelancaran dan keselamatan pengguna yang pulang ke kampung

KUALA LUMPUR, 7 Zulhijjah 1443H, Khamis – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melancarkan Op Khas Hari Raya Aidiladha mulai hari ini hingga Rabu depan bagi memastikan kelancaran dan keselamatan pengguna jalan raya yang pulang ke kampung sempena cuti perayaan itu.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Aedy Fadly Ramli berkata dalam operasi itu, pihaknya memberi lebih fokus kepada pemandu bas ekspres dan penguatkuasaan terhadap sembilan kesalahan utama antaranya memandu laju, tidak menggunakan tali pinggang keledar serta membawa muatan berbahaya.

“Pemantauan terhadap pemandu bas ekspres akan dilakukan di 28 terminal bas utama di seluruh negara melalui kaedah penyamaran sebagai penumpang dan pemantauan di lokasi tumpuan sepanjang lebuh raya,” katanya pada sidang media operasi itu di Plaza Tol Sungai Besi.

Beliau berkata sepanjang tempoh operasi itu juga, JPJ akan menyita kenderaan dipandu oleh individu yang tidak memiliki lesen memandu atau lesen memandu mereka telah tamat tempoh.

“Kenderaan yang telah tamat cukai jalan juga akan disita dalam op ini,” katanya.

Aedy Fadly juga menyeru orang ramai agar melaporkan sebarang kesalahan jalan raya melalui aplikasi JPJ [email protected] yang dilancarkan pada April lepas.

Beliau turut menasihati pengguna jalan raya supaya berhati-hati dan mematuhi peraturan semasa pulang ke kampung supaya selamat sampai ke destinasi. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button