Berita Utama

Wan Saiful gesa kerajaan tolak desakan keluar CPTPP

Didakwa bermanfaat pada perdagangan, sistem ekonomi pasaran

BANGI, 10 Jamadilawal 1444H, Isnin – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan menggesa kerajaan menolak desakan untuk menarik diri dari Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Beliau berkata, pentadbiran negara mestilah berdasarkan fakta serta kajian dan bukannya berdasarkan ideologi kiri antiperdagangan yang dianuti Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) serta kumpulan penyokong gabungan itu semata-mata.

“Belum sempat sebulan kerajaan PH-BN mentadbir, kumpulan-kumpulan aliran kiri yang antiperdagangan sudah mula lantang. Inilah kesan daripada terwujudnya sebuah kerajaan berfahaman kiri dalam negara kita.

“Baru-baru ini mereka mahukan kerajaan PH-BN menarik diri dari perjanjian perdagangan bebas antarabangsa yang dikenali sebagai ‘Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership’ (CPTPP).

“Kumpulan-kumpulan ini lantang semula kerana mereka tahu pentadbiran Anwar Ibrahim cenderung ke arah kiri. Salah satu elemen dalam falsafah ekonomi kiri ialah sikap antiperdagangan terbuka dan antiekonomi pasaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mendakwa, pihak berkenaan berselindung di sebalik pelbagai hujah seperti memerlukan libat urus, kajian, mahu elak berat sebelah.

“Tetapi ini semua adalah alasan ciptaan sahaja.

“Sebenarnya semua alasan ini sengaja dicipta untuk menutup hakikat bahawa sikap mereka itu berakar umbi dari falsafah ekonomi kiri yang antiperdagangan terbuka dan antiekonomi pasaran,” dakwanya.

Menurutnya, CPTPP akan memberi manfaat kepada segenap lapisan rakyat, termasuklah penduduk daripada kawasannya yang bekerja di kawasan perindustrian berhampiran.

“Kemasukan pelaburan baru, perpindahan teknologi baru dan peluang mempertingkat kemahiran tenaga kerja melalui CPTPP, sudah pasti akan membolehkan warga Tasek Gelugor mendapat pendapatan lebih tinggi di masa depan.

“Inilah manfaat daripada perdagangan dan sistem ekonomi pasaran.

“Jika penyertaan Malaysia dalam CPTPP dibatalkan, yang rugi bukan saja warga Tasek Gelugor, tetapi rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa menarik balik ratifikasi CPTPP.

Desakan itu dibuat oleh 24 pakar ekonomi, 57 badan bukan kerajaan (NGO), 10 kesatuan sekerja dan lebih 50 individu selepas mendapati perjanjian ratifikasi itu bakal memberi impak besar kepada ekonomi negara.

Pada 5 Oktober lalu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) menerusi kenyataan memaklumkan Kabinet bersetuju meratifikasi CPTPP.

MITI berkata, selaras dengan itu, kerajaan telah menyerahkan Instrumen Ratifikasi (IOR) kepada depositari CPTPP, New Zealand pada 30 September.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button