Berita Utama

Op Lancar tumpu kelancaran trafik sempena Aidiladha

Pengguna diingat rancang perjalanan, patuh peraturan lalu lintas

BANGI, 7 Zulhijjah 1443H, Khamis – Op Lancar sempena Hari Raya Aidiladha pada 10 Julai ini akan menumpukan kepada kelancaran aliran trafik termasuk pemantauan bagi mengesan kesalahan menggunakan lorong kecemasan.

Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, Op Lancar akan bermula 8 Julai sehingga 11 Julai, ekoran pertambahan pergerakan orang ramai untuk pulang ke kampung dan kembali semula ke ibu kota selepas berhari raya.

Beliau berkata, melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah mengenal pasti kawasan ‘hotspot’ yang dijangka sesak dan akan mengaturkan seluruh kekuatan petugas di lapangan.

Ini termasuk membabitkan elemen keanggotaan balai, kereta peronda (MPV) serta unit rondaan bermotosikal (URB) secara sistematik bagi memastikan aliran trafik di lebuh raya, jalan-jalan negeri serta bandaran bergerak lancar dan terkawal.

“Selain itu, rondaan cegah kemalangan dan omnipresent di lokasi turut dijalankan termasuk pendekatan pemantauan melalui dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) bagi mengesan kesalahan menggunakan lorong kecemasan.

“Pengguna jalan raya disarankan untuk merancang perjalanan dan peka dengan informasi aliran trafik semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mengingatkan untuk melaksanakan peranan sebagai pengguna jalan raya yang berhemah dan patuhi segala peraturan lalu lintas dengan tidak memotong barisan, menyalahgunakan lorong kecemasan atau memarkir kenderaan sehingga menghalang laluan.

Katanya, melalui Op Lancar kali ini, PDRM komited untuk memastikan keselamatan dan keselesaan orang ramai sepanjang perjalanan terjamin bagi merayakan Aidiladha dalam suasana kekeluargaan yang sejahtera.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button