Berita Utama

Kejayaan PdPR perlu komitmen luar biasa semua pihak terutama pelajar

Pembabitan bukan sekadar mendengar, perlu beri maklum balas dan siapkan tugasan

BANGI, 12 Ramadan 1442H, Sabtu – Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian masih menjadi kaedah terbaik perlu dilaksanakan ketika pandemik COVID-19 belum reda.

Pengarah Pusat Kokurikulum, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Muhamad Saufi Che Rusuli berkata, meskipun berhadapan pelbagai cabaran dalam melaksanakannya, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tetap merencanakan pelbagai kaedah dan strategi supaya proses PdPR berjalan sempurna.

Tambahnya, kebolehcapaian internet sudah pasti antara perkara penting berkait kelas dalam talian.

Justeru, katanya, terdapat keperluan dalam usaha mengenal pasti tahap kebolehcapaian internet setiap pelajar.

Katanya, hal ini bagi membantu tenaga pengajar menentukan kaedah bersesuaian dapat diambil.

“Tidak dapat dinafikan pelbagai kekangan timbul, terutama bagi pelajar di kawasan pedalaman yang kurang mendapat liputan rangkaian akses internet.

“Oleh itu, tenaga pengajar dan pelajar perlu menggunakan platform bersesuaian seperti media sosial supaya dapat berhubung tanpa gangguan.

“Ini amat penting bagi mengelakkan pelajar tertinggal sesi pembelajaran, sekali gus berupaya merangsang sistem kognitif pelajar secara berterusan,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Selari dengan norma baharu, beliau berkata, PdPR secara talian memerlukan komitmen dan sokongan tinggi,

Bagi tujuan itu, katanya, ibu bapa perlu memahami normal baharu pendidikan, melengkapkan pelajar dengan teknologi seperti komputer riba, telefon dan akses internet agar mereka dapat menghadiri kelas dalam talian tanpa kerisauan.

Malah, beliau berkata, usaha luar biasa dan komitmen pelajar tidak berbelah bahagi juga penting dalam pelaksanaan PdPR.

“Pembabitan mereka bukan sekadar mendengar syarahan pengajar, bahkan memberikan maklum balas dan menyiapkan tugasan diberikan dengan sempurna.

“Sekiranya pelajar tidak memberikan komitmen sepenuhnya dalam aktiviti kokurikulum, ia hanya bertepuk sebelah tangan. Malah, ilmu disampaikan tidak menjadi pengetahuan kepada pelajar.

“Tenaga pengajar perlu memberikan khidmat pendidikan terbaik ketika wabak COVID-19 kerana ia memerlukan daya usaha dan tenaga luar biasa semua pihak,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button