Berita Utama

Sorok minyak peket subsidi, KPDNHEP serbu kilang di Sikamat

Pegawai temui 612 kg minyak masak dalam pemeriksaan

SEREMBAN, 7 Zulhijjah 1443H, Khamis – Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, hari ini menyerbu sebuah kilang memproses makanan di Sikamat selepas disyaki menyorok minyak masak peket bersubsidi.

Ketua Pegawainya, Abd Muis Shamsudin berkata, pihaknya menemui 612 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi dalam pemeriksaan tersebut.

“Anggota penguat kuasa kami menjalankan pemeriksaan menerusi Ops ATM dan Ops Anti Sorok di sebuah kilang memproses makanan di Sikamat dan menemui sebanyak 612 kg minyak masak peket bersubsidi (1 kg) serta 5 tong minyak masak (17 kg) di dalam premis berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati premis tidak mempunyai sebarang kebenaran untuk menyimpan minyak masak di premisnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, premis itu disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan kesemua minyak disita untuk tujuan siasatan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1,655,” katanya.

Dalam pada itu, Abd Muis berkata, pihaknya akan terus menjalankan operasi seumpama itu bagi membanteras dan menggempur aktiviti menyorok barang kawalan.

Ia juga bagi memastikan keberadaan bekalan terutama barang makanan negara sentiasa mencukupi serta mudah diperoleh pengguna pada harga berpatutan.

“Pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga diminta menyalurkan aduan yang lengkap kepada KPDNHEP melalui saluran WhatsApp 019-2794317 atau 019-848 8000,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button