Tapis ikon jika ingin dijemput ke sekolah: iGuru
Individu tidak bersesuaian beri mesej negatif kepada pelajar

BANGI, 7 Zulhijjah 1443H, Khamis – Sekolah wajar menjadi premis terbaik untuk membangunkan intelek, bakat dan jati diri murid.
Atas dasar itu, adalah tidak wajar pihak sekolah menjemput mana-mana individu yang rendah moral dan adab untuk dijadikan ikon dalam mengisi program motivasi dan pembinaan generasi.
Demikian pandangan disuarakan Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan susulan tindakan sebuah sekolah di Kuala Lumpur, menjemput personaliti media sosial, Haqiem Stopa untuk memberi motivasi kepada para pelajar di sekolah berkenaan.
Mengulas perkara itu, beliau berkata, pihak sekolah perlu menapis mana-mana ikon yang ingin dijemput ke sekolah dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan agar hero ditonjolkan nanti memberi nilai positif dalam diri para pelajar.
Katanya, membawa ikon yang tidak bersesuaian akan memberi mesej negatif dan mengundang cara fikir salah di kalangan para pelajar kerana mereka masih mentah dan belum sempurna tahap kematangan.
“Hangat diperkatakan kehadiran seorang influencer TikTok popular Haqiem Stopa ke salah sebuah sekolah untuk menyampaikan sesi ceramah berkaitan COG (Cerita Orang Gagal).
“Pihak iGuru menyambut baik hasrat murni pihak sekolah untuk mengenengahkan kisah orang-orang yang pernah gagal yang akhirnya berjaya untuk dijadikan inspirasi kepada para pelajar.
“Namun, pihak iGuru melihat mana-mana ikon atau ‘influencer’ yang dijemput tersebut mestilah dari kalangan mereka yang boleh dijadikan contoh terbaik untuk generasi pelajar,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Malaysia mempunyai ramai bakat anak muda yang hebat dan berjaya dalam pelbagai industri untuk dijadikan ikon dan ‘influencer’ kepada para pelajar.
“Pempengaruh yang telah berjaya di dalam bidang masing-masing serta memiliki akhlak dan moral yang tinggi wajar dijemput ke sekolah-sekolah untuk menjadi ikutan yang baik kepada para pelajar meskipun mereka dari latar belakang yang pernah gagal sebelum ini dan berdepan ujian dalam kehidupan,” katanya.