Berita Utama

Tapak peleburan besi di Semenyih beroperasi secara haram

Premis dikesan selepas berlakunya pencemaran longkang, parit

SEMENYIH, 2 Rejab 1442H, Ahad – Sebuah tapak peleburan besi disita selepas dikesan beroperasi secara haram dan menyebabkan pencemaran longkang serta parit pada 11 Februari lalu.

Premis haram yang berkeluasan kira-kira 1.2 hektar di sebuah kawasan terpencil di Mukim Hulu Semenyih itu dikesan kewujudannya selepas berlaku hujan lebat di daerah berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian berkata, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerima laporan berhubung pencemaran longkang dan parit di Taman Semenyih Permata pada 11 Februari 2021.

“Siasatan LUAS bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mendapati pencemaran akibat efluen daripada premis itu,” katanya kepada pemberita hari ini.

Loy Sian berkata, siasatan mendapati aktiviti peleburan dan pembakaran besi di premis haram itu menghasilkan serbuk karbon berwarna hitam dan dibuang ke dalam dua buah kolam air berhampiran premis itu.

“Air kolam itu kemudian melimpah keluar disebabkan hujan lebat sekali gus mencemarkan longkang berhampiran dan turut berpotensi mencemarkan Sungai Semenyih jika lewat dikesan,” katanya.

Beliu memaklumkan, MPKj telah mengambil tindakan membina benteng di lokasi kolam bagi menyekat aliran air tercemar dan menyita premis tersebut. 

Sehubungan itu, katanya, LUAS mengeluarkan Perintah Perlindungan Air dibawah Seksyen 122 (1) Enakmen LUAS 1999 kepada premis itu.

“Pengendali premis itu boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya.

“Premis turut diarahkan menghentikan pelepasan efluen dan menjalankan kerja-kerja pembersihan tapak dengan segera,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button