Berita Utama

Ada segelintir ahli politik guna kuasa bukan untuk kepentingan agama

Perubahan dalam pemerintahan perlu dilakukan segera

BANGI, 8 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Kesilapan dalam pemerintahan disebabkan kepentingan politik perlu diperbetulkan segera bagi mengelak kemurkaan Allah.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, menjadi kewajiban bagi pemerintah untuk membawa pentadbiran ke arah yang membawa manfaat kepada agama.

Menurut beliau, kesilapan berlaku apabila ada segelintir ahli politik yang menggunakan kuasa yang diamanahkan bukan untuk kepentingan agama sebagaimana tujuan politik dalam Islam.

“Tujuan politik dalam agama adalah untuk menegakkan agama dan menguruskan dunia dengan agama.

“Jadi kita hendaklah sama-sama memelihara agama, kuasa politik perlu dimanfaatkan untuk kepentingan agama.

“Namun sebarang penyimpangan tujuan itu juga pelanggaran dan tindakan melampaui hukuman, pasti akhirnya akan berdepan hukuman Allah atau ditimpa pembalasan di atas dunia lagi,” katanya seperti dipetik harakahdaily.net, hari ini.

Beliau yang dipetik ketika menyampaikan Kuliah Tafsir Surahi Masjid Assidiqin, Panchor, Pengkalan Chepa baru-baru ini menjelaskan, sebelum menimpakan sesuatu musibah, Allah telah menghantar Nabi dan Rasul untuk memberi peringatan agar berbuat baik.

Beliau berkata, zaman ini adanya orang alim yang berperanan dalam menyambung tugas para Nabi dan Rasul iaitu menyuruh manusia untuk berbuat kebaikan (amar ma’ruf) dan melarang manusia daripada melakukan kejahatan.

“Namun sayangnya ada yang berpangkat tinggi, berkedudukan sentiasa menentang dan mengkhianati nabi dan Rasul.

“Apabila ia berlaku, Allah menghancurkan kelompok tersebut dengan sehancur-hancurnya,” ujarnya sambil menyenaraikan akibat yang menimpa kaum-kaum terdahulu seperti kaum Luth, ‘Ad, Thamud, pengikut Nabi Nuh A.S, Fir’aun dan pengikutnya serta pengikut Namrud.

Malah beliau turut membuktikan, bangsa-bangsa yang menolak kebenaran agama sama ada mereka beragama Islam atau bukan-Islam juga dihancurkan seperti Kerajaan Rom, Greek Purba, China dan India dahulu.

“Semuanya berdepan kehancuran kerana menolak agama kerana berleluasa melakukan zina, minum arak, homoseksual dan pelbagai kejahatan lain.

Atas dasar itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata, perubahan dalam pemerintahan perlu dilakukan segera supaya tidak mendapat balasan seperti kaum terdahulu yang menolak agama.

“Kita perlu berasa bimbang sekiranya masyarakat hidup sedemikian kerana dikhuatiri bala akan menimpa ke atas semua.

“Dakwah adalah sangat penting dan kita seharusnya tidak membiarkan keburukan-keburukan terus berlaku,” tegasnya sambil memberi contoh tragedi menimpa Bosnia sebagai iktibar disebabkan kehidupan tidak berlandaskan agama.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button