Berita Utama

Baling dijangka alami hujan lebat, ribut petir lagi

Angin kencang mungkin berlarutan hingga lewat malam

BALING, 8 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Hujan dan ribut petir dijangka masih berlaku pada sebelah petang di Baling, Kedah, dalam beberapa hari akan datang.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, unjuran itu berdasarkan kepada pembentukan garisan ombak terutama di sepanjang kawasan pantai negeri ini.

Garisan badai, kata Muhammad Helmi, akan menyebabkan kejadian hujan lebat dan ribut petir serta angin kencang pada waktu petang yang berkemungkinan berlarutan sehingga awal malam.

“Walaupun MetMalaysia meramalkan cuaca baik pada waktu pagi dan malam, hujan serta ribut petir berpotensi berlaku pada sebelah petang di daerah Baling,” katanya seperti dilapor NST.

Berdasarkan formasi garisan ombak, beliau berkata, MetMalaysia turut meramalkan hujan dan ribut petir di beberapa bahagian di Kedah dalam beberapa hari akan datang.

“Corak cuaca yang sama turut diramalkan bagi negeri-negeri lain di Pantai Barat Semenanjung serta Sabah pada sebelah pagi berikutan fenomena garisan ribut.

“Pada sebelah petang, hujan dan ribut petir lebih tertumpu di beberapa negeri di sepanjang Pantai Timur Semenanjung seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor timur serta Sarawak, Sabah dan Labuan,” katanya.

Muhammad Helmi berkata, keadaan lebih stabil dengan kurangnya pembentukan hujan pada sebelah petang bagi Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka serta Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Justeru, MetMalaysia menjangkakan tiada cuaca ekstrem akan berlaku di negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button