Berita Utama

Gerakan Islam perlu bersama atur strategi berdepan musuh

Timbul kerunsingan dalam mencari cara memenangi pertembungan antara yang hak dan bathil

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 8 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni menzahirkan rasa syukur melihat perkembangan gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) sejak ditubuhkan 25 tahun lalu sehingga ke hari ini.

Presiden ISMA itu berkata, pertambahan ahli, agensi dan asetnya adalah satu petanda jemaah dan organisasi ini diberkati Allah SWT.

“Kita harap pertambahan dan perkembangan ini bukan istidraj tetapi ia sebagai petanda kita berada di landasan yang betul,” katanya dalam ucapan di Malam Pelancaran Sambutan 25 Tahun ISMA, di Bangi Resort Hotel.

Pun begitu, bersama para hadirin malam tadi, Ustaz Muhammad Fauzi berkongsi satu perkara yang sering menjadi kerunsingan dalam kepimpinan ISMA ketika ini. 

Beliau berkata, kebimbangan berkenaan berkaitan suatu persoalan mengenai bagaimana cara untuk memenangi pertembungan di antara Al-Haq dan Al-Bathil.

“Ini sebenarnya adalah persoalan masa depan. Jadi, membawa manusia ke arah menyembah Allah itu adalah perjuangan Al-Haq, sementara membawa manusia mentaati taghut itu adalah perjuangan Bathil.

“Sejarah para nabi, Khulafa Ar-Rasyidin dan lain-lain telah menyaksikan sejarah pertembungan antara Al-Haq dan Al-Bathil juga. Manakala kita kini memilih untuk bersama Al-Haq yakni kebenaran.

“Permasalahannya adalah apabila kedua-dua ini selalu bertembung tetapi keseringan pertembungan ini mengakibatkan kekalahan kepada perjuangan Al-Haq.

“Ibaratnya, menang sekali kalah dua kali. Menang sekali kalah tiga kali Begitulah keadaan sampai ke hari ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Ustaz Muhammad Fauzi berkata, Islam selepas kejatuhan Uthmaniyah tetap berkembang namun sekali ‘dipukul’, segala kekuatan gerakan Islam seluruh dunia termasuk tanah air kita berubah.

“Begitu juga sekarang pun. Kita dah capai tahap Islamisasi Malaysia yang kuat suatu ketika dahulu. Tetapi empat tahun sehingga setahun dua kebelakangan ini kita sering kalah. Lihat sahaja senarai kes mahkamah bersabit agama kita yang kita saksikan kalah, atau tak memihak kepada Islam.

“Jadi sebenarnya ini adalah perkara yang cukup merunsingkan,” katanya lagi.

Beliau menegaskan, ini semua berpunca daripada kegagalan ‘mengukur’ saiz musuh dan kesilapan cara mendepani mereka. 

“Cara kita tidak begitu tepat. Kita tak faham sangat saiz musuh itu besar. Bila kita tak kenal, kita pun tak paham kekuatan dan perancangan sebenar mereka.

“Akhirnya strategi, gerak kerja kita hanya berjaya sentuh kes tertentu sahaja. Tetapi musuh yang ada perancangan begitu mendalam, yang mungkin kita tak perasan, masih menang di sudut lain,” katanya.

Justeru, apa yang perlu dilakukan oleh badan-badan Islam yang lain termasuk ISMA adalah melakukan koreksi yang bersungguh-sungguh untuk menyusun gerak kerja mendepani musuh.

“Berfikir sejenak, koreksi dan bersungguh- sungguh. Apabila kita mampu ukur, baru lah kita akan mampu buat persiapan yang sepadan.

“Kebanyakan kita sekarang persiapan tak sepadan. Kita boleh bersorak sekejap tapi kita tak faham pertembungan sebenar. 

“Kalau kita dapat periksa kembali kita dapat menyusun semula langkah, kita dapat berdepan dengan kekuatan yang sepadan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button