Berita Utama

ISMA sambut baik jaminan Pengerusi SUHAKAM bawa hak asasi ikut acuan tempatan

Bakal perkukuh Perlembagaan Persekutuan, tidak lagi berpaksikan Barat

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 8 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Jaminan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) yang baharu, Prof Datuk Dr Rahmat Mohamad bahawa hak asasi manusia di negara ini akan dibuat mengikut acuan tempatan dan tidak lagi berpaksikan budaya Barat atau ‘western centric’, amat dialu-alukan.

Menyifatkan ia perkembangan positif, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, akan berlaku perubahan neraca pandang dan rujukan dalam isu hak asasi manusia sekiranya ia benar berlaku.

Malah, jaminan serta gambaran bahawa ia akan bergerak ke arah adat dan budaya tempatan negara, akan mengukukuhkan lagi Perlembagaan Persekutuan.

“Dasar pandang hak asasi SUHAKAM sebelum ini selalu merujuk Barat, sehingga menenggelamkan Perlembagaan negara. 

“Sekiranya jaminan itu benar-benar dilaksanakan, maka itu akan mengukuhkan kembali Perlembagaan,” katanya dalam sidang media Malam Pelancaran Sambutan 25 Tahun ISMA, semaa

Bagaimanapun, Ustaz Muhammad Fauzi berkata, cabaran besar akan dihadapi di kalangan tokoh dan golongan liberal di dalam SUHAKAM.

Beliau menjangkakan perbezaan idea ini akan memberi tekanan kepada kepemimpinan baharu.

“Sebahagian tokohnya masih dengan cara fikir lama. Jadi mereka akan bersaing idea di peringkat mereka dahulu. Pertembungan idea di peringkat mereka pun agak sengit juga. 

“Namun, segala pandangan yang berpihak kepada nilai tempatan, kita berharap ia akan dominan di masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan seramai lapan anggota SUHAKAM yang baharu bagi sesi 2022 sehingga 2025.

Anggota baharu yang dilantik adalah Prof Datuk Dr Rahmat Mohamad sebagai Pengerusi baharu SUHAKAM, bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.

Seterusnya Dr Chew Chee Ming dari Sarawak, bekas Peguam Besar Sabah, Datuk [email protected] Robert; Peguam dan Timbalan Ketua UMNO Selayang, Hasnal Rezua Merican Habib Merican; Ketua Wanita UMNO Kulim-Bandar Baharu, Nazira Abdul Rahim yang juga seorang peguam dan bekas Presiden Majlis Peguam, K Ragunath.

Seorang lagi pesuruhjaya ialah Pensyarah Undang-undang UKM, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal yang dilantik semula.

Pertikaian pelantikan ini sudah pun bermula dengan kumpulan hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia (Suaram) melahirkan rasa bimbang atas pelantikan Pengerusi dan dua Pesuruhjaya SUHAKAM yang dianggap tidak mencerminkan kebebasan dan nilai yang sepatutnya diwakili badan itu.

Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy turut mempersoalkan kewajaran kerajaan melantik Prof Datuk Dr Rahmat Mohamad sebagai Pengerusi SUHAKAM.

Sevan seolah tidak berpuas hati dengan pelantikan itu kerana, menurutnya, Prof Rahmat ialah orang yang mengarang kertas kerja untuk meyakinkan Majlis Raja-raja agar menolak Statut Rom semasa negara ini ditadbir Pakatan Harapan dulu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button