Berita Utama

Jemaah haji terkandas: ‘Bawa pihak terbabit ke muka pengadilan’

17 laporan polis sudah diterima setakat pagi tadi

BANGI, 8 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menzahirkan rasa kecewa berhubung insiden hampir 400 bakal jemaah haji yang terkandas di Lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Katanya, insiden berkenaan tidak sepatutnya berlaku dan perlu dipandang berat semua pihak terutama agensi menguruskan jemaah haji.

“Saya mengambil maklum berkenaan isu bakal jemaah haji yang terkandas di KLIA dan Hotel Movenpick KLIA melibatkan hampir 400 orang.

“Saya juga dimaklumkan beberapa laporan polis dibuat terhadap perkara ini dan tindakan pihaknya juga telah dimulakan bagi proses siasatan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Semalam, kira-kira 380 jemaah Haji terkandas di KLIA ekoran tidak dapat berlepas ke Jeddah, Arab Saudi pada malam Khamis dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

Kesemua jemaah yang berkumpul di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melibatkan urusan melalui Tabung Haji.

Visa furada ialah visa yang diuruskan sendiri dan dilaporkan dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh Tabung Haji.

Mengulas lanjut Idris menegaskan, sekiranya terdapat unsur penipuan berjaya dikesan, pihak terbabit perlu dibawa ke muka pengadilan dan diberikan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Beliau memohon kepada jemaah yang teraniaya supaya tabah dan terus mengambil peluang pada Hari Arafah untuk bermunajat dan mendapatkan keredaan Allah, walaupun tidak dapat hadir menunaikan haji di Tanah Suci Mekah.

Dalam pada itu, Ketua Polis KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman berkata, sebanyak 17 laporan polis berhubung jemaah terkandas diterima sehingga 4.30 pagi tadi.

“Siasatan awal mendapati, lebih 300 jemaah haji terkandas di KLIA dan siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Laporan berkenaan dibuat oleh mangsa dan ahli keluarga mangsa masing-masing di Setapak, Kajang dan KLIA, malah, jumlah laporan itu dijangka meningkat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button