Kelab sukan Jordan tarik diri pertandingan bola baling ekoran penyertaan Israel
Enggan normalisasi hubungan Arab dengan negara haram

ABU DHABI, 8 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Kelab sukan Wihdat Jordan tidak akan menyertai pertandingan bola baling antarabangsa di Emiriah Arab Bersatu (UAE) kerana penyertaan pasukan negara haram Israel.
Pertandingan itu dijadualkan pada 18-28 Julai di Al-Ain UAE, dengan kelab bola baling Arab, Asia dan Afrika mengambil bahagian.
“Secara rasmi, kelab Wihdat mengumumkan tidak akan menyertai kejohanan bola baling Al-Ain,” katanya di Twitter mengakhiri kenyataan itu dengan tanda pagar #no_normalization.
Pengumuman itu dipuji aktivis Jordan dan Palestin di rangkaian media sosial.
Akaun media sosial popular dengan nama “I am an Arab against normalization,” antara yang mengalu-alukan keputusan itu, menuduh pasukan Emirat Al-Ain mempromosikan normalisasi dengan pendudukan Israel melalui perkongsiannya dengan pasukan Israel Maccabi Haifa.
“Sukan adalah tindakan moral yang tidak bertolak ansur dengan pengusiran penduduk dan penjajahan tanah mereka,” tulis akaun itu. – Agensi