Berita UtamaIstimewa

Masyarakat perlukan tempat berpaut, projek besar bangunkan sistem Islam

Barat tak peduli teori Islam, tapi sangat tentang jika institusi Islam dibangunkan

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 8 Zulhijjah 1443H, Jumaat “Kita sudah berlalu fasa Islamisasi, di mana kita memberi penerangan kepada masyarakat mengenai Islam, dan masyarakat dah pun yakin dengan Islam. Namun, sekarang kita ada persimpangan baharu.”

Demikian kata Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni pada Malam Pelancaran Sambutan 25 Tahun ISMA, di Bangi Resort Hotel, semalam.

Beliau menegaskan, sekarang masyarakat sedang menantikan tindakan selanjutnya daripada golongan Islamis yang boleh menjadi tempat untuk mereka berpaut.

Katanya, orang ramai sudah menerima dan akur dengan kebenaran Islam, namun kini telah sampai peringkat di mana mereka mahu melihat produknya – model mahupun institusi – di hadapan mata.

“Kita sudah mengkritik sistem Barat, sistem kapitalis dan sebagainya. Fasa di mana kita mengkritik sistem Barat ini dah habis. Jadi apa sistem yang golongan Islamis nak perkenalkan. Bentuk institusi yang macam mana.

“Masyarakat sekarang tunggu model yang boleh disentuh, dilihat dan berpaut,” katanya.

Menjelaskan perkara itu, beliau berkata, ketika ini cabaran kepada pertubuhan dan gerakan Islam tanah air ini adalah untuk mewujudkan projek yang boleh dilihat.

“Bolehkah golongan Islamis mengangkat pusat zakat sehingga ke satu tahap yang cukup dihormati oleh masyarakat. Dan sehingga orang boleh menganggap pusat zakat sebagai penyelesaian segala masalah.

“Kita tak sampai situ lagu. Belum sampai tahap sehingga boleh meyakinkan masyarakat. Sistem wakaf juga sepatutnya menyelamatkan orang Islam.

“Bukan hanya tanah wakaf, dan sebagainya, tetapi boleh sampai lahirkan sistem universiti wakaf seperti Universiti Al-Azhar di Mesir. Kita belum mampu bangunkan sistem begitu,” katanya.

Atas dasar itu, tugas untuk menyusun semula perkara sedemikian adalah cabaran baharu buat gerakan Islam yang mahu ke hadapan dalam membangunkan umatnya.

Ditambah pula dengan kerenah Barat yang sentiasa mengekang sebarang usaha membangunkan sistem Islam, tegas Ustaz Muhammad Fauzi.

“Dia (Barat) akan biarkan umat Islam bercakap tentang teori sahaja. Tasawwur sahaja. Dan dia pun tak kisah pun kita kritik teori dia. Tapi dia takkan bagi kita kembangkan institusi Islam kita. Dia akan menyekatnya.

“Institusi sedia ada pun dia sedang cuba musnahkan. Kita tengok cubaan mereka untuk menidakkkan kuasa Mahkamah Syariah makin hari makin kuat, termasuk jabatan agama dan majlis fatwa.

“Institusi sedia ada pun makin diperkecilkan dan akhirnya orang tak akan hormat pun. Apatah lagi nak bangunkan institusi baharu. Dia akan kekang. 

“Segala yang nama Islam itu hanya pada teori sahaja. Pada dia, bercakaplah, tulislah, kritiklah sistem Barat tiada masalah bagi dia,” katanya.

Menyedari akan sukarnya melawan gerakan terancang Barat ini, Ustaz Muhammad Fauzi menggesa kesatuan di antara badan- 

badan Islam termasuk segala tokoh yang ada.

Tegasnya, apa yang perlu difokuskan ketika ini bukan lagi hanya kesepakatan tentang kefahaman Islam, tetapi bergerak ke arah projek yang dapat dilihat di hadapan mata.

“Jika sekiranya kita berjaya buat itu secara bersungguh-sungguh. Kesan dia sangat baik. Jika tak berjaya kita akan berpusing di tempat yang sama.

“ISMA ambil serius perkara ini. Bukan satu benda yang mudah, nak membangunkan model dan projek. Ini adalah cabaran kita sekarang. Saya rasa kita memang perlu duduk bersama, tak kira apa badan. 

“Kita perlu merangka satu projek jangka panjang. Kita tak boleh urus isu semasa sahaja, mungkin 40 peratus diberikan pada isu semasa namun, selebihnya iaitu 60 peratus tenaga mesti diberi pada perancangan jangka masa panjang,” katanya.

Beliau menegaskan, projek Barat sering berjaya kerana tumpuan dan dedikasi mereka terhadap projek jangka masa panjang itu amat besar. 

“Mereka mempunyai 100 tahun punya projek. Dan ia melibatkan beberapa generasi,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, projek yang kita wariskan ini mestilah akan berterusan hingga ke generasi seterusnya.

“ISMA baru sahaja 25 tahun, tetapi kita tidaklah berasa kerdil. Yang penting kita lakukan apa yang kita boleh.

“Kita kembangkan apa yang kita boleh untuk beri sesuatu pada umat Islam pada kadar yang kita mampu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button