Patut kutuk British paksa nenek moyang jadi askar upahan, bukan kutuk Mat Kilau
PEMBELA pelik United Sikhs Malaysia melatah kait sentimen agama, kaum

BANGI, 9 Zulhijjah 1443H, Sabtu – Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya pelik apabila United Sikhs Malaysia melahirkan perasaan tidak senang hati terhadap filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan.
Beliau hairan pihak berkenaan secara tiba-tiba melatah sehingga mengaitkan dengan pengapian sentimen agama dan bangsa, walhal filem itu sudah beberapa minggu ditayangkan sehingga dipuji pelbagai latar belakang masyarakat.
“Sepatutnya mereka berbangga kerana filem ini memaparkan penindasan British yang berlaku terhadap nenek moyang mereka selain yang ditonjolkan terhadap orang Melayu. Di mana nenek moyang mereka dipaksa menjadi sebahagian dari pasukan dihambakan untuk menjalankan agenda kolonial British.
“Melainkan mereka ini memang pro-British yang menganggap kedatangan British dan ‘hamba-hambanya’ ke Tanah Melayu dahulu adalah demi kemajuan. Jika ya, saya tidak pelik kerana United Sikh memang berpangkalan di Amerika Syarikat di mana memang sekutu British pun, termasuk dari segi fahaman dan cara fikir.
“Lipatan sejarah yang mencatatkan bahawa orang-orang Sikh menjadi bahagian utama dari kekuatan kolonial British tidak akan terpadam dan tidak ada faedahnya untuk ditutup,” katanya dalam satu kenyataan.
Haji Aminuddin berkata, perkara itu sewajarnya dikenang sebagai satu episod hitam dalam sejarah yang dikesali.
“Elok juga United Sikhs Malaysia keluarkan kenyataan mengenang serta mengutuk kezaliman British, lebih-lebih lagi bulan kemerdekaan bakal menjelang tiba.
“Malah, filem ini hanya menonjolkan pasukan upahan British yang memang secara uniformnya sedemikian rupa. Tidak ada langsung babak menunjukkan mereka itu melakukan kezaliman kerana motivasi agama Sikh.
“Lainlah jika filem Mat Kilau ini memaparkan askar-askar British tersebut seperti mana modus operandi filem-filem Barat yang menggambarkan Islamofobia dengan penonjolan elemen-elemen agama seperti ayat-ayat dari kitab suci yang telah dimanipulasi dan di konteks yang salah,” katanya.
Dalam pada itu, filem berlatarbelakangkan Tanah Melayu era tahun 1800-1900 sememangnya berkisar perjuangan orang Melayu sahaja, katanya.
Justeru, beliau menyifatkan tidak menjadi kesalahan sekiranya bangsa lain tidak ada bersama Mat Kilau dalam filem berkenaan.
Ini kerana bangsa-bangsa lain yang didatangkan oleh British pada era itu bukan warga tempatan, malah rata-ratanya adalah rakyat British.
“Janggal pula kalau nak tonjol bangsa lain berjuang bersama Mat Kilau menentang British. Itu pun kalau kalian bersetuju bahawa British itu jahat.
“Saya yakin masyarakat Sikh lebih rasional dan faham hakikat yang saya cuba terangkan ini. Jangan termakan hasutan persatuan yang kononnya mewakili kalian,” katanya.