Berita UtamaDunia

Peguam halang penceroboh Israel usir keluarga di Sheikh Jarrah

Berjaya dapatkan keputusan Mahkamah Agung, penduduk akan kekal di rumah mereka

BAITULMAQDIS, 9 Zulhijjah 1443H, Sabtu – Peguam Palestin dilaporkan menghalang percubaan penceroboh haram Israel untuk mengusir keluarga Palestin dari rumah mereka di kejiranan Baitulmaqdis Timur Sheikh Jarrah.

Kementerian Hal Ehwal Baitulmaqdis berkata, peguam menggagalkan percubaan penceroboh untuk menghalau keluarga Ja’oni, Qassem, Al-Kurd dan Skafi keluar dari rumah mereka di kawasan kejiranan, semalam.

Katanya, peguam berjaya mendapatkan keputusan Mahkamah Agung Israel yang menolak petisyen penceroboh untuk mempertimbangkan semula keputusan mahkamah sebelum ini.

Ia termasuk menghentikan pengusiran empat keluarga Palestin di kawasan Kerem Al-Jaouni di kawasan kejiranan Sheikh Jarrah.

Menurut keputusan itu, keluarga Al-Kurd, Al-Jaouni, Skafi dan Qassem akan kekal di rumah mereka tatkala Kementerian Kehakiman Israel meneliti dokumen pemilikan yang dikemukakan untuk plot Sheikh Jarrah yang dipersoalkan.

Menurut Al Jazeera, proses itu boleh mengambil masa bertahun-tahun, jika ia pernah selesai.

Penduduk kejiranan Sheikh Jarrah hidup dalam suasana yang mendebarkan, kerana diancam dengan pengusiran paksa dan perobohan rumah, di samping provokasi berterusan peneroka.

Peguam Palestin telah bekerja selama bertahun-tahun bagi memastikan penduduk Sheikh Jarrah tidak diusir dari rumah mereka dengan segera.

Tahun lalu, ancaman pengusiran penduduk Palestin di Sheikh Jarrah mencetuskan keganasan berminggu-minggu, yang memuncak dengan serangan kejam tentera Israel selama 11 hari ke atas Semenanjung Gaza, yang membunuh 230 rakyat Palestin, termasuk 65 kanak-kanak. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button