Berita Utama

Polis siasat video wanita hina Islam

Jangan sentuh isu yang jejaskan sensitiviti keagamaan

BANGI, 9 Zulhijjah 1443H, Sabtu – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan terhadap rakaman video yang memaparkan seorang wanita menghina agama Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi, di ibu negara.

Setiausaha PDRM, Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, kertas siasatan telah dibuka dan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan jenayah, Bukit Aman, hari ini.

“Kertas siasatan dibuka mengikut seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Terdahulu, tular video yang memaparkan seorang wanita membuka pakaian dan tudung di hadapan penonton selepas memperkenalkan diri sebagai seorang beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran, sehingga mengundang kemarahan umat Islam.

Video yang tular di aplikasi TikTok itu didakwa berlaku di sebuah kelab di ibu negara yang menampilkan persembahan komedi.

“Hello dan assalamualaikum everyone. Nama saya Siti ****. Saya berasal daripada Kuala Kangsar, Perak. I’m Malay and muslim. Dan saya telah menghafal 15 juzuk al-Quran. But one second…,” katanya sebelum membuka pakaian.

Mengulas lanjut, Noorsiah menasihati orang awam supaya tidak menyentuh isu yang boleh menjejaskan sensitiviti perkauman dan keagamaan dalam masyarakat.

“PDRM akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang cuba bertindak dalam apa juga cara yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya.

Berita berkaitan;
https://ismaweb.net/2022/07/09/video-hina-islam-modus-operandi-lapuk-kerap-jadi-menjelang-hari-raya/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button