Wujud perjanjian jawatan TPM antara PN dan PM
Perjanjian dipersetujui, tidak boleh diterbitkan, hanya disimpan untuk rujukan

BANGI, 9 Zulhijjah 1443H, Sabtu – Sememangnya wujud perjanjian antara Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Demikian dakwa Bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad.
Katanya, perjanjian itu disaksikan dua individu penting daripada UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Saya ingin mengesahkan perjanjian ini wujud. Sebagai pegawai Perdana Menteri kelapan pada waktu itu, saya terlibat secara langsung dalam penyediaan perjanjian ini.
“Perkara ditandatangani oleh Tan Sri Muhyiddin dan Perdana Menteri pada 17 Ogos 2021 dan disaksikan oleh seorang menteri daripada BERSATU dan seorang menteri UMNO,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Jelas Marzuki, satu fasal dalam perjanjian berkenaan menyebut dokumen perjanjian yang dipersetujui itu, tidak boleh diterbitkan atau dizahirkan dalam apa-apa bentuk sebaliknya hanya boleh disimpan untuk rujukan kedua-dua pihak.
“Ia hanya boleh disimpan untuk rujukan kedua-dua pihak,” katanya.
Dedah Marzuki lagi, beliau sendiri terbabit dalam penyediaan perjanjian berkenaan di antara PN yang dianggotai BERSATU, PAS, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) itu bersama Perdana Menteri.
Sebelum ini Muhyiddin dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Ismail Sabri mengutarakan beberapa perkara penting termasuk menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri.