Berita Utama

Isu penipuan umrah, haji bawah Kementerian Pelancongan

Idris beri jaminan akan bantu jemaah yang dizalimi

BANGI, 9 Zulhijjah 1443H, Sabtu – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan bekerjasama dengan pihak yang terlibat bagi membantu jemaah umrah dan haji yang dizalimi.

Datuk Idris Ahmad memberi jaminan itu walaupun katanya isu penipuan umrah dan haji di bawah Kementerian Pelancongan.

“Namun insya-Allah Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama tetap bekerjasama untuk membantu mereka yang dizalimi dan disalurkan kepada pihak yang sepatutnya untuk mengambil tindakan. Harap maklum,” katanya menerusi kenyataan ringkas di laman Facebook beliau hari ini.

Kenyataan itu dipercayai susulan gesaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bertindak berikutan timbulnya isu jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis.

“Takkan setakat ambil maklum. Sepatutnya Idris lebih proaktif, turun padang jumpa mereka dan gunakan hubungan dua hala untuk selesaikan masalah mangsa terbabit,” katanya.

Berikutan insiden itu juga, beliau menyoal peranan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dilantik sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat bertaraf menteri.

“Apa dia buat. Amat malang dalam tempoh empat hari terkandas, menteri tidak tunjuk muka.

“Menteri macam tidak prihatin dan tidak ada idea bagaimana mahu selesai masalah. Idris juga gagal melobi kuota haji tambahan. Tahun hadapan berilah mangsa mangsa ini keutamaan,” sarannya.

Terdahulu, hampir 400 jemaah haji terkandas dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

Mereka yang berkumpul di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

Visa furada ialah visa yang diuruskan sendiri dan dilaporkan dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh TH.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button