Berita Utama

JAINJ kesan 42 ajaran sesat

Rujuk pejabat agama apa-apa ajaran dibawa pihak tertentu

BANGI, 9 Zulhijjah 1443H, Sabtu – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengesan 42 ajaran sesat sepanjang tempoh 2000 hingga 2021.

Antaranya ajaran Qadyani, Baha’i, Al-Arqam, Ayah Pin, Lqyar Bahtwea, Millah Ibrahim dan Hizbut Tahrir.

Selain itu, ajaran Syiah, Wahabi, Haji Banuar Roslan, Zikir Nafas, Bathamim dan Suhaimi Bin Mohamad turut dikesan di negeri tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, hasil pemantauan Bahagian Penyelidikan JAINJ dan JAKIM sepanjang tempoh 2020 dan 2021, aktiviti ajaran sesat berkurangan mungkin disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik COVID-19.

“Bagi semua ajaran, kita memang tegas dalam menyaring ajaran di Johor. Mana-mana yang menyimpang, kita akan semak dan ambil tindakan.

“Jumlah sebenar pengikut tak ada, walaupun sekecil mana pun kita akan basmi, selagi mereka menyalahi ajaran Ahli Sunnah Waljamaah yang kita amalkan di Johor.

“Apabila terima aduan, kita terus siasat dan buat serbuan ke pusat dan kelas yang mencurigakan dan soal siasat,” katanya.

Malah, mereka juga akan dipanggil untuk sesi kaunseling sebelum tindakan mahkamah diambil.

Sekiranya mereka dapat dipulihkan dalam sesi kaunseling, kita akan masukkan mereka ke dalam kelas pemulihan.

“ Sekiranya mereka berkeras dan meneruskan ajaran, terpaksa kita ambil tindakan mahkamah sebagai tindakan akhir,” katanya lagi.

Mohd. Fared yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah menjelaskan, antara ciri-ciri ajaran sesat yang sering dikesan adalah ketuanya mengaku diri Tuhan atau nabi serta boleh berinteraksi dengan golongan di langit.

Justeru, beliau menasihati umat Islam di negeri ini supaya menilai dan merujuk terlebih dahulu sesuatu ajaran yang dibawa pihak tertentu dengan pihak pejabat agama atau tokoh agama yang bertauliah di negeri ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button