Berita Utama

JAWI jalankan siasatan awal berhubung video wanita hina agama Islam

Tidak akan berkompromi dengan perbuatan bertujuan hina dan cemarkan imej serta kesucian Islam

KUALA LUMPUR, 9 Zulhijjah 1443H, SabtuJabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah menjalankan siasatan awal berhubung satu klip video tular disyaki menghina agama Islam  baru-baru ini yang berlaku di sebuah kelab di sekitar Taman Tun Dr Ismail.

Pengarahnya, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, pihaknya mengambil maklum berkenaan video tular berkenaan dan siasatan awal telah dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan JAWI.

Di bawah Seksyen 7,  Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559), mana-mana individu yang secara lisan atau secara bertulis atau dengan gambaran yang tampak atau dengan cara-cara lain menghina agama Islam atau menyebabkan Islam dipandang hina, mempersendakan, mengajuk-ngajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam merupakan satu kesalahan yang apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Mohd Ajib berkata. JAWI tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang bertujuan menghina dan mencemarkan imej serta kesucian Islam yang berlaku di Wilayah Persekutuan khususnya menjelang ketibaan Aidiladha yang mulia.

Video berdurasi 54 saat itu tular di media sosial dan mendapat pelbagai komen dalam kalangan netizen apabila seorang wanita yang bertudung dan memakai baju kurung mendakwa dirinya telah menghafaz 15 juzuk Al-Quran lalu menanggalkan pakaian yang menutup aurat itu dan hanya meninggalkan pakaian yang mencolok mata.

Perbuatannya itu telah mendapat sorakan dan gelak tawa dalam kalangan penonton kelab berkenaan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button