Jemaah haji terkandas: 5 ditahan termasuk pemilik agensi pelancongan
Kesemua diberkas menerusi serbuan di berapa lokasi

BANGI, 9 Zulhijjah 1443H, Sabtu – Lima individu termasuk pemilik sebuah agensi pelancongan yang disyaki terlibat insiden hampir 400 jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), berjaya ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supritendan Ashari Abu Samah berkata, kesemua lima individu berkenaan diberkas menerusi serbuan di beberapa lokasi, kira-kira 9 malam tadi.
“Dua lelaki dan tiga wanita berusia 30 hingga 60 tahun itu yang ditahan membabitkan pemilik agensi pelancongan berkenaan serta isterinya, seorang ejen serta dua pekerja di agensi terbabit yang terletak di Danau Kota.
“Kami mengambil keterangan mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju bagi membantu siasatan,” katanya.
Sehingga kini Ashari berkata, sebanyak 23 laporan polis diterima polis di seluruh Kuala Lumpur berhubung kes tersebut.
Kesemua 23 laporan itu dibuat di Wangsa Maju, Sentul dan Dang Wangi membabitkan kerugian wang berjumlah RM760,000.
Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.
Sebelum ini, kira-kira 380 bakal jemaah haji telah terkandas di KLIA di Sepang, Khamis lalu selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan swasta yang mengendalikan urusan penghantaran jemaah haji.
Penerbangan berkenaan sepatutnya dijadualkan ke Jeddah Selasa lalu, namun ditangguhkan atas alasan dokumen tidak lengkap, sebelum penerbangan baru dijadual pada jam 4.30 petang kKhamis dan tertangguh lagi pada jam 7 malam, hari sama.
Mereka yang berkumpul di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui urusan Lembaga Tabung Haji (TH).
Visa furada adalah visa yang diuruskan sendiri dan dilapor dikeluarkan oleh Arab Saudi tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh TH