Berita Utama

Video hina Islam: Modus operandi lapuk, kerap jadi menjelang hari raya

PDRM perlu lebih proaktif, jangan tunggu rakyat, NGO buat laporan

BANGI, 9 Zulhijjah 1443H, Sabtu – Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu bertindak lebih proaktif tanpa perlu mengharapkan rakyat atau NGO membuat laporan kejadian yang mencemarkan nama Islam di negara ini.

Ini termasuk isu klip video tular memaparkan seorang wanita membuka pakaian dan tudung di hadapan penonton selepas memperkenalkan diri sebagai seorang beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran, sehingga mengundang kemarahan umat Islam.

Video yang tular di aplikasi TikTok itu didakwa berlaku di sebuah kelab di ibu negara yang menampilkan persembahan komedi.

Mengulas perkara itu, Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, PDRM perlu lebih proaktif untuk membuat laporan termasuk dalam kes seperti ini.

“Kalau polis sendiri pun boleh buat laporan polis terhadap PEMBELA sebelum-sebelum ini, agensi itu juga perlu bertindak dan kita harap polis boleh buat laporan polis juga untuk kes-kes sebegini.

“Begitu juga pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu ambil tindakan tuntas selaku pemberi lesen perniagaan (dan apa jua yang berkaitan) terhadap premis tersebut.

“Saya yakin ini bukan pertama kali berlaku kerana pelaku dalam video ini nampak begitu yakin sekali seolah-olah ada galakan dan motivasi yang kuat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Haji Aminuddin berpandangan, tindakan yang ditonjolkan remaja Islam berkenaan dilihat sebagai modus operandi sudah lapuk dan kononya nama dan pentas komedi.

“Sudahlah lapuk. Nampak sangat macam sudah tak ada modal untuk jadikan jenaka. Akhirnya, jalan mudah ialah jadikan agama sebagai bahan jenaka,” katanya.

Beliau berkata, provokasi berbentuk penghinaan terhadap agama Islam sering berlaku menjelang sambutan raya.

“Yang sedihnya, seolah-olah setiap kali menjelang sambutan raya, pasti ada provokasi-provokasi berbentuk penghinaan terhadap agama Islam sebegini.

“ Kita tak lupa apa yang berlaku menjelang Aidilfitri baru-baru ini dan hari-hari raya sebelum-sebelum ini,” katanya.

Pautan berkaitan:
https://ismaweb.net/2022/07/09/jawi-jalankan-siasatan-awal-berhubung-video-wanita-hina-agama-islam/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button