Berita Utama

‘Dia hina diri sendiri’

Islam tak rasa terhina pun dengan tindakan puak sebegini: Naib Presiden ISMA

BANGI, 10 Zulhijjah 1443H, Ahad – Tindakan biadab seorang wanita yang membuka pakaian dan tudung di hadapan penonton selepas memperkenalkan diri sebagai muslim dan menghafal al-Quran, hanya perbuatan memalukan diri sendiri.

“Sebenarnya Islam tidak rasa terhina pun dengan tindakan puak-puak sebegini. 

“Sebaliknya mereka yang menghinakan diri mereka ke serendah-rendah kedudukan,” kata Naib Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dalam hantaran di laman Instagram.

Ustaz Mohd Noor Azib Asmangi memetik Ayat 5, Surah At-Tin “Kemudian, Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah.”

“Semoga mereka mendapat hukuman setimpal di dunia dan akhirat nanti,” katanya.

Dalam sebuah video berdurasi selama 54 saat, wanita tersebut dilihat berada di atas pentas dengan memakai baju kurung lengkap dan bertudung.

Bagaimanapun, selepas memperkenalkan diri sebagai seorang muslim dan mengaku menghafal 15 juzuk al-Quran, dia kemudiannya menanggalkan satu persatu baju kurung dan tudung dan hanya ditinggalkan dengan baju singlet serta skirt.

Tindakan wanita itu mengundang kecaman dan kemarahan netizen apabila diperlakukan menjelang Hari Raya Aidiladha – rata-rata menganggapnya seperti provokasi yang disengajakan. 

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pihaknya telah menerima satu laporan berhubung penularan rakaman video berkenaan. 

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga memaklumkan tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang bertujuan menghina dan mencemarkan imej serta kesucian Islam khususnya yang berlaku di Wilayah Persekutuan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button