Berita Utama

Kelab Komedi Crackhouse diarah tutup sementara

DBKL tidak tolak ansur aktiviti tak hormat sensitiviti agama

KUALA LUMPUR, 10 Zulhijjah 1443H, Ahad – Kelab Komedi Crackhouse di Taman Tun Dr Ismail diarah tutup sementara susulan kontroversi selepas seorang seorang wanita menanggalkan pakaian serta tudungnya sehingga mendedahkan aurat.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan arahan itu setelah rakaman video wanita kejadian berkenaan tular di media sosial.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, perintah penutupan sementara sebagai mesej bahawa kementerian dan Dewan Bandaraya tidak akan bertolak ansur dengan sebarang aktiviti yang tidak menghormati sensitiviti pelbagai agama, kaum dan kedaulatan negara.

“Perkara ini turut mendapat tindak balas daripada penduduk berhampiran serta netizen di media sosial yang berpendapat, klip tular itu menunjukkan perbuatan yang dilakukan dengan niat untuk mencemarkan imej agama Islam.

“Sebagai pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab di Kuala Lumpur, DBKL tidak akan berkompromi dalam perkara ini.

“DBKL telah menjalankan siasatan terhadap lesen premis dan telah mengambil tindakan mengarahkan penggantungan sementara operasi mereka berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, premis terbabit dalam catatan Facebook berkata, pihaknya mengecam sekeras-kerasnya kandungan video tersebut dan telah membuat laporan polis berhubung perkara itu.

“Individu terbabit dan pasangannya diharamkan dari premis itu sejurus selepas persembahan.”

Terdahulu, tular video yang memaparkan seorang wanita membuka pakaian dan tudung di hadapan penonton selepas memperkenalkan diri sebagai seorang beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran, sehingga mengundang kemarahan umat Islam.

Video yang tular di aplikasi TikTok itu didakwa berlaku di sebuah kelab di ibu negara yang menampilkan persembahan komedi.

“Hello dan assalamualaikum everyone. Nama saya Siti ****. Saya berasal daripada Kuala Kangsar, Perak. I’m Malay and muslim. Dan saya telah menghafal 15 juzuk al-Quran. But one second…,” katanya sebelum membuka pakaian.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button