Berita UtamaDunia

Krisis ekonomi: PM Sri Lanka sedia letak jawatan

Ribuan penunjuk perasaan serbu pejabat presiden di Colombo

COLOMBO, 10 Zulhijjah 1443H, Ahad – Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe bersedia meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada kerajaan semua parti mengambil alih pentadbiran. 

Kenyataan dari pejabatnya dikeluarkan semalam selepas penunjuk perasaan yang marah menyerbu kediaman dan pejabat presiden di ibu negara Colombo.

Puluhan ribu orang telah memecah penghadang dan memasuki kediaman Presiden Gotabaya Rajapaksa dan pejabat berdekatan.

Askar dan polis tidak dapat menahan orang ramai yang melaungkan gesaan menuntut peletakan jawatan presiden. 

Beberapa penunjuk perasaan, memegang bendera dan topi keledar, memecah masuk kediaman presiden, rakaman video dari berita TV tempatan saluran NewsFirst menunjukkan pada hari Sabtu.

Strim langsung Facebook dari dalam rumah presiden menunjukkan ratusan penunjuk perasaan menyerbu ke dalam bilik dan koridor, menjerit slogan menentang pemimpin. 

Rakaman penunjuk perasaan berdiri dan beberapa orang mandi di kolam renang di dalam rumah presiden juga tersebar luas di media sosial.

“Untuk memastikan keselamatan rakyat, beliau bersetuju dengan saranan pemimpin parti pembangkang untuk meletak jawatan,” kata pejabat Wickremesinghe.

Wickremesinghe berkata, belia lu akan meletakkan jawatan apabila semua pihak telah bersetuju dengan kerajaan baharu.  

“Hari ini di negara ini kita mengalami krisis bahan api, kekurangan makanan.

“Ketua Program Makanan Sedunia akan datang dan ada beberapa perkara untuk dibincangkan dengan IMF. Oleh itu, jika kerajaan ini keluar perlu ada kerajaan lain,” katanya.

Sri Lanka berdepan krisis ekonomi terburu sehingga menjadi muflis, yang  dijangka berlarutan sekurang-kurangnya sehingga penghujung tahun depan.

Negara kepulauan berpenduduk kira-kira 22 juta itu mengalami kadar inflasi tinggi dan pemotongan bekalan elektrik berpanjangan.

Ia berlaku selepas kerajaan kehabisan mata wang asing untuk mengimport barangan keperluan penting. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button