Berita Utama

Persenda Islam tindakan hina dan jijik

Islam bukan prop komedian nak lantun sesuka hati

BANGI, 10 Zulhijjah 1443H, Ahad – Umat Islam perlu berhati-hati dalam tindakan dan ucapan supaya tidak terjebak dalam situasi yang boleh disifatkan sebagai menghina dan mempersenda agama.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan berkata, Islam sebagai satu cara hidup yang mulia dan mendidik penganutnya agar berperilaku sopan dan menjaga sensitiviti beragama.

“Maka tidak sahaja Islam melarang penganutnya menghina agama lain, maka terlebih utama seorang muslim diwajibkan memelihara maruah dan kesucian agama Islam yang dianutinya.

“Tampil di khalayak dalam keadaan menutup aurat dan membuat pengakuan menghafal al-Quran lalu disaat itu jua, dengan sengaja dan bangga ia meleraikan satu persatu pakaian luarnya sehingga separuh telanjang, adalah satu perbuatan mempersenda dan memperkecilkan Islam.

“Ia bukan sahaja perbuatan yang mencabul harga diri individu yang terlibat, tetapi juga meluruhkan nilai mulia pada agama yang dianut serta mempalit rasa malu kepada seluruh umat Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Serentak itu, beliau menggesa individu yang terlibat kembali kepada Islam.

“Bertaubat dari apa yang telah ia lakukan. Menginsafi bahawa ia adalah satu kesalahan besar di dalam agama.

“Agama Islam bukan prop komedian yang boleh dilantun sesuka hati. Meskipun mendapat tepukan gemuruh dari audien, tindakan itu tidak boleh dinilai sebagai bahan lawak jenaka melainkan ia suatu perbuatan yang hina dan jijik kerana mempersendakan ajaran wahyu dari Tuhan Yang Maha Mencipta.

“Demikian juga tindakan seorang ‘content creator’ yang viral di TikTok tempoh hari apabila memuatkan ‘content’ menarik tudung muslimah. Mempertaruhkan maruah seorang muslimah demi meraih rating di media sosial adalah satu tindakan yang keterlaluan dan wajib dihentikan,” katanya.

Terdahulu, tular video yang memaparkan seorang wanita membuka pakaian dan tudung di hadapan penonton selepas memperkenalkan diri sebagai seorang beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran, sehingga mengundang kemarahan umat Islam.

Video yang tular di aplikasi TikTok itu didakwa berlaku di sebuah kelab di ibu negara yang menampilkan persembahan komedi.

“Hello dan assalamualaikum everyone. Nama saya Siti ****. Saya berasal daripada Kuala Kangsar, Perak. I’m Malay and muslim. Dan saya telah menghafal 15 juzuk al-Quran. But one second…,” katanya sebelum membuka pakaian.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button