Berita UtamaIstimewa

Wanita hina Islam: Inilah bahana pemikiran liberal

Hilang sifat malu yang sepatutnya hiasi diri wanita muslimah

BANGI, 10 Zulhijjah 1443H, Ahad – Arahan penutupan sementara Kelab Komedi Crackhouse di Taman Tun Dr Ismail selepas dikaitkan dengan isu kontroversi wanita menghina kesucian agama Islam adalah sangat wajar.

Setiausaha Majlis Ulama ISMA (MUIS), Dr Ahmad Sanusi Azmi berkata, pihak kelab komedi itu wajar dikenakan tindakan kerana membiarkan wanita berkenaan memperlakukan dirinya sedemikian.

“Mereka hanya mengeluarkan kenyataan kecaman setelah video tersebut menjadi viral di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan menggantung sementara pengoperasian premis sebuah kelab serta-merta susulan aksi tanggal tudung dan pakaian seorang wanita ketika membuat persembahan stand up comedy (komedi solo).

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pihak DBKL telah menjalankan siasatan lanjut terhadap lesen premis tersebut selain tidak akan sama sekali berkompromi dalam isu sedemikian.

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Sanusi berkata, tindakan wanita berkenaan mengundang kemarahan khalayak kerana dilihat mempersendakan perintah aurat selain mengaitkan diri beliau sebagai seorang yang telah menghafaz 15 juzuk al-Quran.

“Beliau seakan-akan bukan sekadar menanggalkan pakaian semata bahkan membuang sekali sikap malu yang sepatutnya menghiasi diri wanita muslimah.

“Sebagai muslim, kita seharusnya boleh membezakan perkataan atau tindakan kita yang boleh dijadikan gurauan dan mana yang tidak sesuai untuk dijadikan bahan gurau sehingga boleh memberikan kesan kepada syariat Islam itu sendiri.

“Inilah bahananya pemikiran liberal yang memberikan kebebasan mutlak kepada manusia sehingga membiarkan tindakan mempersenda perkara yang telah disyariatkan oleh Islam,” katanya

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button