Berita Utama

Bimbang kesedaran Melayu bangkit punca tuduhan dilempar pada filem Mat Kilau

Adegan dalam Mat Kilau tak mampu buang realiti sejarah lepas

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 11 Zulhijjah 1443H, Isnin – Tatkala filem Mat Kilau rancak diperkatakan kerana mampu membangkitkan semangat jati diri bangsa, muncul pula ‘serangan’ yang mempertikai dengan pelbagai dakwaan dan tohmahan mengelirukan.

Ada pihak tidak berpuas hati kononnya mendakwa filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan sebagai fasis dan mendakwa filem epik ini dibuat tanpa sebarang justifikasi dengan ‘melukis’ setiap watak bukan Melayu sebagai karikatur jahat.

Bahkan, ada juga pihak yang cuba mengaitkan dengan pengapian sentimen agama dan bangsa apabila mendakwa filem terbitan Studio Kembara ini membawa kepada ketidakharmonian masyarakat di Malaysia.

Bersuara mempertahankan filem itu, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni menegaskan bahawa filem Mat Kilau sekadar cuba menggambarkan sejarah sebagaimana ia berlaku dengan olahan tertentu.

“Isu askar upahan atau penjajah adalah sebahagian daripada realiti sejarah yang berlaku yang tidak mampu dibuang dari sejarah lepas.

“Jika pertikaian itu kerana adegan askar upahan itu dibunuh dengan kejam, sepatutnya kritikan juga diberikan kepada adegan askar-askar upahan membunuh penduduk kampung dengan kejam,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Menurut Ustaz Muhammad Fauzi, tuduhan filem Mat Kilau berunsurkan rasis dan fasis juga hanyalah dakwaan terpilih yang dicipta ke atas filem yang menaikkan semangat serta jati diri Melayu.

Sedangkan, beliau berkata, di dunia terdapat terlalu banyak filem dari China dan Barat yang menggambarkan kekejaman dilakukan oleh pihak lain ke atas mereka.

“Apa yang jelas adalah kemungkinan wujud kebimbangan di kalangan sesetengah pihak yang melihat kesedaran Melayu Islam meningkat.

“Kebimbangan itulah yang menjadi latar belakang tuduhan rasis, fasis dan seumpamanya kerana mereka mahu bangsa Melayu terus layu dan diperkotak katikkan sentiasa,” katanya.

Beliau berkata, kesedaran jati diri Melayu adalah permulaan kepada satu perubahan di dalam negara ini.

“Perubahan itu akan membawa kepada dominasi lebih kukuh Islam dalam urusan kenegaraan.

“Ini bertentangan dengan gerakan yang berlaku sekarang yang bermatlamatkan untuk mengubah struktur dan asas kenegaraan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button