Berita UtamaIstimewa

Janganlah bangkitkan soal jawatan TPM ketika rakyat sedang susah

Merugikan, tanpa TPM negara masih terus berfungsi

BANGI, 11 Zulhijjah 1443H, Isnin – Cadangan mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri – seperti yang dituntut Perikatan Nasional (PN)- tatkala rakyat berdepan krisis kos sara hidup hanya merugikan negara.

Ini kerana, kerajaan terpaksa membayar gaji Timbalan Perdana Menteri serta menyediakan banyak lagi kelayakan dan kemudahan yang sepatutnya dinikmati oleh individu yang memegang jawatan itu.

Hakikatnya, meskipun tiada jawatan berkenaan ketika ini, negara dapat terus berfungsi seperti biasa, kata pemerhati politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.

“Tidak usahlah bangkitkan soal jawatan TPM ketika rakyat sedang susah.

“Ada pun jawatan TPM, ringgit bukan boleh naik pun. Lagipun Pilihan Raya Umum (PRU) sudah tidak lama lagi,” katanya.

Beliau menggesa ahli politik memberi fokus kepada masalah untuk meringankan beban rakyat, bukan soal jawatan.

“Jawatan TPM itu sementara, kesusahan rakyat berpanjangan,” katanya.

Terdahulu, bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad mengesahkan wujud perjanjian antara Pengerusi PN itu dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Marzuki mendakwa, perjanjian itu disaksikan dua individu penting daripada UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sebelum ini, Muhyiddin dilapor telah mengadakan pertemuan dengan Ismail Sabri untuk mengutarakan beberapa perkara penting termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Kita tidak minta lebih daripada (perjanjian) itu tetapi hanya soal pelantikan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri, serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan-badan berkanun serta peruntukan kerajaan,” kata Muhyiddin.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button