Jemaah haji kini boleh bawa pulang air zamzam
Terhad satu botol lima liter dari premis lapangan terbang

JEDDAH, 11 Zulhijjah 1443H, Isnin – Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz (KAIA) kini membenarkan jemaah haji membawa pulang air zamzam ke negara mereka menerusi penerbangan antarabangsa.
KAIA memaklumkan bahawa jemaah haji dibenarkan membeli hanya satu botol air zamzam lima liter melalui salah satu tempat jualan di premis lapangan terbang itu.
Pihak berkuasa lapangan terbang telah menetapkan laluan berasingan untuk air zamzam dan ia tidak dibenarkan dibawa dalam bagasi daftar masuk.
Sementara itu, pihak berkuasa juga memaklumkan bahawa dalam fasa akan datang, lapangan terbang bersedia untuk menyiarkan banyak mesej kesedaran dan pendidikan melalui semua platform media, supaya sampai kepada jemaah haji di Makkah.
KAIA berkata, melalui inisiatif itu, maklumat dapat disampaikan kepada jemaah haji mengenai semua arahan yang ditetapkan berkaitan pengendalian dan penghantaran bagasi di lapangan terbang.
Pihak berkuasa juga akan menerbitkan maklumat itu melalui akhbar dan platform media sosial serta menerusi mesej teks mengenai penghantaran bagasi dan air zamzam.
Katanya, maklumat itu juga akan diterjemah bagi memastikan mesej berkenaan sampai kepada semua jemaah haji dari negara yang berbeza.- Agensi