Ketirisan minyak masak subsidi ke Thailand didalangi pihak tertentu
Bukan dilakukan penyeludup kecil sebaliknya terus dari kilang

BANGI, 11 Zulhijjah 1443H, Isnin – Tan Sri Annuar Musa mengesahkan bahawa ketirisan minyak masak subsidi ke Thailand didalangi pihak tertentu.
Bagaimanapun Pengerusi Pasukan Jihad Tangani Inflasi itu enggan mendedahkan butiran lanjut pihak berkenaan namun mempunyai bukti yang cukup hasil siasatan yang dijalankan.
“Kita mempunyai bukti yang cukup. Berlaku ketirisan minyak masak subsidi yang cukup besar sehinggakan bekalan minyak tidak putus di pekan Golok, Thailand yang dijual dengan harga RM7.
“Malah, mereka boleh menjualnya dengan banyak dan ini bererti perbuatan ini bukan dilakukan penyeludup kecil, sebaliknya ia secara terus dari kilang.
“Hasil penyiasatan yang dibuat mendapati ada keterlibatan pihak-pihak tertentu yang menyebabkan berlakunya ketirisan. Saya tidak boleh mengumumkan di sini kerana siasatan lanjut masih dilakukan,” katanya seperti dilapor media tempatan.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia memberi amaran supaya pihak berkenaan menghentikan perbuatan itu selain tidak teragak-agak untuk merombak semula keseluruhan sistem bekalan minyak subsidi sedia ada sekiranya ketirisan itu masih berlaku.
Sebelum ini, media melaporkan, bekalan minyak masak subsidi Malaysia dikatakan tidak pernah terputus di Golok, Thailand selain senang didapati terutama di pasar negara berkenaan.
Minyak berkenaan dijual RM6.80 hingga RM7 sepaket, tinggi sedikit berbanding ini RM5.80 hingga RM6 sebelum ini.
Malah, penduduk mendakwa hampir setiap rumah di pekan Golok mempunyai bekalan minyak subsidi Malaysia berikutan harganya jauh lebih murah berbanding minyak masak keluaran negara itu.