Berita Utama

PN perkenal logo baharu PRU15

Buat penambahbaikan dan ada simbol-simbol yang digunakan

IPOH, 11 Zulhijjah 1443H, Isnin – Perikatan Nasional (PN) akan memperkenalkan logo baharu untuk digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia susulan terdapat cadangan untuk mengubah suai logo sedia ada semasa Mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan itu, kira-kira dua minggu lepas.

“Logo sedia ada sudah baik tetapi kita akan buat penambahbaikan dan ada simbol-simbol yang digunakan.

“Jadi logo yang sesuai akan diperkenalkan dan dimaklumkan kepada pihak SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya),” katanya ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Kenduri Rakyat Aidiladha Perikatan Nasional Negeri Perak di Kampung Manjoi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai PAS yang membayangkan tidak menggunakan logo PN dan bulan purnama untuk calonnya pada PRU15.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, parti itu akan menggunakan simbol baharu dan sesuai untuk semua calonnya bagi menghadapi PRU akan datang.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, PAS telah memaklumkan mahu mencari logo yang bersesuaian dengan PN dan ia sedang diusahakan oleh Setiausaha Agung gabungan itu Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Pada 3 Julai lepas, Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata keputusan untuk menggunakan logo PN pada PRU15 masih belum dimuktamadkan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button