Berita Utama

Jovian Bangi janji turunkan papan iklan imej tidak sopan

Gesaan Isma Bangi dapat reaksi, harap dapat diurus selewatnya 27 Disember

BANGI, 20 Jamadilawal 1444H, Khamis – Gesaan gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) terhadap jenama komersil, Jovian supaya menurunkan papan tanda iklan dengan imej wanita tidak sopan di Jovian Factory Outlet Seksyen 9 Bandar Baru Bangi mendapat reaksi daripada syarikat itu.

Yang Dipertua ISMA Bangi, Bilal Jailani berkata, pihak Jovian memohon maaf dan menyatakan komitmen untuk menurunkan atau menukar papan tanda di premis itu dalam masa 14 hari.

“ISMA Bangi amat menghargai hasrat murni Jovian Apparel tersebut. Berkenaan bantahan ini, ISMA Bangi tidak memiliki apa-apa kepentingan melainkan kebaikan awam. 

“Justeru, ISMA Bangi akan memadam hantaran media sosial berkenaan bantahan,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Bilal berkata, ISMA Bangi merakam setinggi penghargaan kepada seluruh warganet dan NGO yang turut menyatakan bantahan mewakili Komuniti Bangi. 

“Anda memang ‘awesome’, aktif dan prihatin.

“ISMA Bangi mengajak masyarakat terus memantau papan tanda tersebut, dan kita harap papan tanda itu dapat diuruskan selewatnya 27 Disember 2022, seperti yang dijanjikan oleh pihak Jovian Apparel.

“Barang lepas usah dikenang. Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. ISMA Bangi mengajak semua pihak memandang ke hadapan dan memberi khidmat terbaik kepada masyarakat,” katanya.

Terdahulu, ISMA Bangi menggesa papan iklan itu diturunkan kerana imej pakaian dalam wanita tidak sepatutnya ditayang di tempat awam.

Ia juga disifatkan melanggar kesopanan dan amat ironi dengan imej Bandar Baru Bangi sebagai Bandar Ilmu dan Syurga Tudung.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button