Berita Utama

Tajaan MARA: Tiada istilah guna ‘kabel’, pilih kasih

Pemberian tajaan pelajaran berdasarkan kriteria ditetapkan

KUALA LUMPUR, 29 Safar 1443H, Rabu – Tiada istilah guna kabel, pilih kasih malah kononnya mengutamakan anak orang kenamaan (VIP) dalam mana-mana penajaan pinjaman pelajaran di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) seperti didakwa sesetengah pihak, kata Pengerusi MARA, Datuk Azizah Mohd Dun.

Beliau berkata, pemberian tajaan pelajaran berkenaan adalah berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan selama ini, terutama dari aspek kecemerlangan dalam keputusan akademik.

“Anak VIP atau daripada keluarga T20 pun, kalau tidak layak dengan kriteria kita tetapkan tetap tidak akan dapat tajaan atau pinjaman,” katanya kepada Bernama sebagai mengulas hantaran menerusi Twitter kononnya ada pelajar tajaan agensi itu yang didakwa tidak layak mendapat kemudahan tersebut, kerana terdiri daripada golongan T20 dan menggunakan ‘kabel’.

Azizah berkata, tuduhan seperti yang dilemparkan menerusi media sosial itu adalah tidak patut memandangkan MARA sejak sekian lama telah banyak menyumbang kepada pembangunan Bumiputera dalam pelbagai aspek termasuk pendidikan.

MARA menyediakan penajaan pelajaran berbentuk pinjaman boleh ubah kepada pelajar cemerlang berasaskan kelayakan akademik yang diberikan mengikut peringkat pengajian bermula dari program persediaan, ijazah sarjana pertama, pengajian sarjana hingga ke peringkat doktor falsafah (PhD).

Pinjaman boleh ubah bermaksud keseluruhan pinjaman pelajaran yang diterima boleh dipertimbangkan pengurangan bayaran balik berdasarkan prestasi akademik pelajar setelah tamat pengajian, tertakluk kepada dasar yang ditetapkan.

Azizah berkata, bagi tempoh Januari hingga 30 September lepas, daripada 50,555 pelajar tajaan MARA dalam dan luar negara, sebanyak 89 peratus atau 44,994 pelajar daripadanya merupakan golongan B40 manakala M40 pula 10 peratus atau 5,055 pelajar dan hanya satu peratus atau 506 pelajar daripada kategori T20.

Ahli Parlimen Beaufort itu berkata, MARA melalui Bahagian Penganjuran Pelajaran (BPP) menerima RM2 bilion peruntukan belanja pembangunan daripada kerajaan tahun ini khusus untuk program pinjaman pelajarannya.

Beliau berkata, jumlah tersebut adalah untuk membiayai pinjaman pelajaran bagi anggaran 60,000 pelajar, iaitu 35,000 pelajar sedia ada dan 25,000 pelajar baru di dalam dan luar negara.

“Memang banyak kita belanja untuk pendidikan sebab melalui pendidikan kita dapat membina insan berjaya, cemerlang dan dapat pulangkan semula untuk menyumbang kepada negara,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button