Berita Utama

Isu bahasa Melayu: Jika tak upaya sokong, paling tidak diam

Wujud krisis jati diri punca tak serius martabat bahasa Melayu

BANGI, 29 Syawal 1443H, Isnin – Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata, kepimpinan negara kini berdepan krisis jati diri apabila ada bekas pemimpin kanan tergamak membidas usaha memartabatkan bahasa Melayu.

Tegasnya, tidak sepatutnya seorang bekas menteri mengeluarkan kenyataan seperti itu, memandangkan beliau pernah berada di dalam kerajaan dan parti berpuluh tahun namun masih tidak mendukung cita-cita berkenaan.

“Sepatutnya beliau faham akan asas perjuangan UMNO khusus berjuang untuk memartabatkan bahasa Melayu.

“Malah, sebagai mantan pensyarah Universiti Malaya, pastinya orang yang berilmu dan berfikir.

“Beliau pasti faham akan asas perjuangan UMNO dan jelas dalam Fasal 3 Asas dan tujuan UMNO, disebut secara khusus perjuangan UMNO memartabatkan bahasa Melayu, iaitu menjamin kedudukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi yang tunggal dan kebudayaan kebangsaan yang berteraskan kebudayaan Melayu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tan Sri Rafidah Aziz yang membidas tindakan kerajaan berhubung penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan penjawat awam termasuk membabitkan urusan rasmi di peringkat antarabangsa.

Prof Awang menegaskan, setiap ahli yang menyertai parti politik sepatutnya sedar tentang cita-cita dan matlamat parti itu.

Pada masa sama, soalnya adakah kerana tidak menjadi pemimpin, beliau berhak berlepas tangan daripada tanggungjawab menghormati Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kedudukan dan peranan bahasa Melayu?

Katanya, ketidakseriusan sebahagian pemimpin dalam pelaksanaan dasar negara termasuk dasar bahasa kebangsaan, menjadi punca bahasa Melayu terumbang-ambing.

Katanya lagi, dalam bidang pentadbiran, Perkara 152(6) telah menetapkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa urusan rasmi kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa awam.

Justeru, katanya, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berusaha memartabatkan bahasa Melayu, sewajarnya semua pihak menyokong penuh.

Tegasnya, jika tidak berupaya menyokong melalui tindakan, berpada secara lisan atau paling tidak diam.

“Tidak wajar sama sekali perbuatan mengeluarkan pernyataan negatif, yang tidak sesuai keluar daripada lisan mantan pemimpin kanan parti dan kerajaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button