Berita Utama

Kekal filem nombor 1, Mat Kilau kutip RM71 juta 3 minggu

Rekod termasuk tayangan di Singapura dan Brunei

BANGI, 12 Zulhijjah 1443H, Selasa – Filem epik Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan terus memecah rekod kutipan filem tempatan apabila berjaya meraih lebih RM71 juta sejak mula ditayangkan pada 23 Jun lalu.

Bahkan, Golden Screen Cinemas (GSC) turut mengumumkan filem terbitan Studio Kembara itu berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai filem nombor satu di Malaysia selama tiga minggu berturut-turut tayangan.

Kutipan terkini yang direkodkan setakat semalam itu meliputi tayangan di negara ini termasuk di Singapura dan Brunei.

Terdahulu, pengarah filem, Syamsul Yusof meluahkan rasa terharu dengan sambutan luar biasa daripada penonton, meskipun pada cuti umum sempena Hari Raya Aidiladha pada Ahad dan semalam.

“Allah maha besar, terima kasih semua penonton #matkilau,” katanya dalam hantaran di Instagram, semalam.

Selain Syamsul, rekod terkini kutipan filem itu turut dikongsikan pelakon utamanya, Datuk Adi Putra menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

“Alhamdulillah, syukur,” tulis Adi Putra.

Sejak mula ditayangkan, filem yang diinspirasikan daripada sejarah benar tanah air itu telah mencetuskan fenomena dan membangkitkan semangat kepahlawanan apabila ramai yang berbusana Melayu dan bersilat ketika hadir ke pawagam.

Filem yang menelan kos RM8 juta itu dibarisi ramai pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Fattah Amin, Wan Hanafi Su, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rahim Razali, Mubarak Majid, Shaharuddin Thamby, Namron, Ellie Suriaty, Khir Rahman dan pelakon dari seberang, Yayan Ruhian.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button