Berita Utama

MKT UMNO tak bincang isu lantik TPM, jangan layan tuntutan PN

Syor adakan PRU supaya rakyat boleh pilih semula kerajaan

BANGI, 12 Zulhijjah 1443H, Selasa – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tidak membincangkan isu perjanjian pelantikan Timbalan Perdana Menteri antara UMNO dan Perikatan Nasional (PN).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara berkaitan perjanjian itu tidak pernah dimaklumkan dalam mesyuarat MKT UMNO sebelum ini.

Perkara berkenaan juga tidak dibincangkan oleh biro politik parti itu dan dalam kalangan pemimpin lima jawatan tertinggi atau ‘Top Five’ UMNO.

“Setahu saya tidak pernah diberitahu (dalam MKT). Dalam ‘Top Five’, biro politik pun setahu saya tiada. Tapi tidak pasti jika saya tidak hadir pada waktu itu,” katanya seperti dipetik media tempatan, hari ini.

Tegas beliau, kerajaan tidak perlu melayan tuntutan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai jawatan dalam Kabinet termasuk isu perjanjian berkaitan pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Hal itu berkaitan urusan kerajaan, namun tuntutan berkenaan terutama ketika negara sudah hampir kepada tempoh untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU), dianggap satu tindakan yang tidak wajar berlaku.

“Lagipun, tiada jaminan dengan pelantikan Timbalan Perdana Menteri menyelesaikan pelbagai masalah dalam negara, termasuk isu berkaitan kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.

“Lantiklah siapa pun, tak ada gunanya. Apakah Timbalan Perdana Menteri baharu boleh selesaikan masalah negara. Seelok-eloknya, adakan PRU supaya rakyat boleh memilih semula kerajaan,” katanya.

Sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sememangnya wujud perjanjian mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri dan kouta anggota Kabinet.

Katanya, beliau menandatangani perjanjian itu bersama-sama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan disaksikan oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta Tan Sri Annuar Musa.

Muhyiddin berkata, draf perjanjian itu digubal oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button