Berita Utama

Pemimpin UMNO jangan terlampau ego

Pendirian UMNO Terengganu mengatasi keputusan pimpinan Pusat

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 12 Zulhijjah 1443H, Selasa – Pendirian UMNO Terengganu tidak akan menghidupkan kembali Muafakat Nasional (MN) bersama PAS di dilihat sebagai keputusan yang melebihi pimpinan pusat.

Penganalisis Politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, tidak sepatutnya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu membuat pendirian mengatasi keputusan pimpinan Pusat.

“Kenyataan yang dibuat oleh Datuk Seri Dr Ahmad Said terserlah keegoan dan keangkuhan.

“Sedangkan dia sendiri belum tahu penerimaan rakyat di negeri itu sebaliknya dia perlu menghormati dan menunggu keputusan rasmi daripada Pusat.

“Jangan terlampau ego, nampak sangat bongkaknya.

“Yakin sangat UMNO boleh menang walaupun dia sendiri belum boleh bagi jaminan untuk memberi kemenangan di negeri tersebut,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sikap angkuh yang ditonjolkan tidak mustahil bakal membawa malapetaka kepada parti.

Malah situasi berkenaan boleh menyebabkan parti tersebut berpecah dan sekali gus memberi peluang parti-parti lain yang baharu untuk mengambil kesempatan.

Terdahulu, Ahmad berkata, hubungan UMNO dan PAS di negeri ini sudah berakhir.

Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berkata, pihaknya sebelum ini sudah memberi ruang kerjasama bersama parti PAS namun ia dilihat gagal.

Pautan berkaitan:
https://ismaweb.net/2022/07/12/1hubungan-dengan-pas-sudah-ke-penghujung-umno-terengganu/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button