Dunia

Presiden baharu Sri Lanka dipilih 20 Julai

Pemimpin semua parti setuju bentuk kerajaan bersama

COLOMBO, 12 Zulhijjah 1443H, Selasa – Pemimpin parti politik Sri Lanka telah memutuskan untuk memilih presiden baharu pada 20 Julai ini menerusi undian di Parlimen.

Susulan itu, pertemuan dengan semua pemimpin parti politik diputuskan untuk bersidang pada 15 Julai dan memaklumkan Parlimen bahawa terdapat kekosongan jawatan presiden.

Speaker Parlimen Sri Lanka, Mahinda Yapa Abeywardena dalam kenyataan berkata, pencalonan untuk jawatan presiden akan dibuat pada 19 Julai dan undian ditetapkan pada 20 Julai untuk memutuskan presiden baharu.

Katanya, pemimpin semua parti juga memutuskan untuk membentuk kerajaan bersama di bawah presiden baharu dan mengambil langkah untuk meneruskan bekalan perkhidmatan penting.

Terdahulu, Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa mengumumkan pengundurannya  pada Sabtu selepas menerima desakan untuk beliau melepaskan jawatan. 

Sri Lanka berdepan krisis ekonomi terburuk sehingga menjadi muflis, yang  dijangka berlarutan sekurang-kurangnya sehingga penghujung tahun depan.

Ratusan ribu rakyat berkumpul di ibu negara Colombo sejak minggu lalu untuk menuntut kerajaan bertanggungjawab kerana didakwa terbabit dalam salah urus kewangan negara yang turut menyebabkan kekurangan teruk makanan serta bahan api.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button