Berita Utama

Ribut kuat di Perai, empat rumah rosak teruk

'Tak sampai lima minit, angin diikuti hujan lebat dan ribut...'

BUTTERWORTH, 12 Zulhijjah 1443H, Selasa – Sekurang-kurangnya empat rumah di Kampung Jawa, Perai mengalami kerosakan teruk selepas bumbung zink kediaman itu diterbangkan angin dalam kejadian ribut, semalam.

Rumah kayu jenis berkembar itu bukan sahaja rosak di bahagian bumbung malah dua daripadanya turut mengalami kerosakan pada dinding luar.

Seorang penduduk, Asrul Affendi, 40, berkata, ketika kejadian, tiga daripada empat rumah itu tidak berpenghuni manakala sebuah lagi didiami sebuah keluarga namun mereka tidak mengalami kecederaan kerana sempat menyelamatkan diri.

“Kejadian ribut itu berlaku sangat cepat, tidak sampai lima minit iaitu bermula angin kuat dan diikuti hujan lebat dan ribut…nasib baik tiga rumah yang rosak itu tiada penghuni dan keluarga yang tinggal di sebuah lagi rumah sempat selamatkan diri mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Video kejadian ribut berdurasi kira-kira 20 saat itu tular di media. Kejadian angin kuat dan hujan lebat turut melanda beberapa kawasan di Pulau Pinang.

Sementara itu, keluarga Muhamad Hafiz Abdul Halim, 35, yang sedang mengadakan majlis kenduri aqiqah dan kesyukuran di kampung itu semalam turut berdepan detik cemas selepas khemah majlis diterbangkan ribut ke atas pokok kelapa yang berketinggian kira-kira 20 meter di hadapan rumah.

“Ketika kejadian, terdapat kira-kira 30 tetamu menjamu selera…syukur Alhamdulillah kami semua selamat, tiada berlaku sebarang kemalangan jiwa ataupun kecederaan di lokasi majlis,” katanya.

Menurutnya, keadaan bertukar menjadi kelam kabut dan semua tetamu yang hadir termasuk ahli keluarga bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri ke dalam rumah.

“Kejadian ribut itu berlaku sekelip mata dan semua makanan serta minuman yang terdapat di bawah khemah turut jatuh berselerak dan selepas kejadian ribut, hujan lebat melanda kawasan kampung itu,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button