Berita Utama

Takiyuddin mengaku buat draf perjanjian TPM

Dilakukan atas kapasiti sebagai Menteri Undang-Undang ketika itu

BANGI, 12 Zulhijjah 1443H, Selasa – Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengaku membuat draf perjanjian berkaitan jawatan Perdana Menteri (TPM).

Beliau bagaimanapun menjelaskan penglibatannya membuat draf perjanjian berkenaan dilakukan atas kapasiti sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), ketika itu.

“Saya adalah bekas Menteri Undang-Undang, jadi semua berkaitan dokumen undang-undang saya akan diminta membuat berkenaannya, bukannya kerana saya adalah Takiyuddin.

“Ia (isu TPM) bukan satu perjanjian, sebaliknya dipanggil sebagai Memorandum Perjanjian (MoA),” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.

Semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan bahawa sememangnya wujud perjanjian mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri dan kouta anggota Kabinet.

Katanya, beliau menandatangani perjanjian itu bersama-sama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan disaksikan oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta Tan Sri Annuar Musa.

Malah, Muhyiddin berkata, draf perjanjian itu digubal oleh Setiausaha Agung PAS – Takiyuddin.

Perkara itu dijelaskan Muhyiddin selepas Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyatakan tiada sebarang perjanjian dibuat berhubung pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri, antara PN dengan Perdana Menteri.

Mengulas perkara itu, Takiyuddin hari ini mengakui beliau sendiri tidak pasti sama ada Tan Sri Abdul Hadi mengetahui mengenainya atau sebaliknya.

“Mungkin kenyataannya (Abdul Hadi) sebelum ini (mengenai tidak wujud perjanjian Muhyiddin-Ismail Sabri) adalah jawapan secara spontan,” katanya.

Jelas Takiyuddin lagi, kewujudan jawatan TPM menerusi Perdana Menteri sebelum dari kerajaan ditadbir Ismail Sabri adalah melalui perkara dinamakan sebagai konvensyen iaitu suatu amalan yang tiada dalam perlembagaan.

“Justeru, perlantikan TPM berada pada kehendak Yang Dipertuan Agong (YDPA).

“Jadi bila tiada dalam Perlembagaan, maka terpulang kepada YDPA sama ada hendak lantik TPM atau terpulang (sebaliknya).

“Jadi, tidak boleh kata wajib melantik TPM walaupun Perdana Menteri berhak atas hak prerogatifnya ingin melantik TPM jika beliau berasa memerlukannya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button