Berita Utama

Wanita, teman lelaki, disyaki hina Islam didakwa esok

Kertas siasatan berhubung kes itu telah dirujuk pejabat Peguam Negara hari ini

KUALA LUMPUR, 12Zulhijjah 1443H, Selasa – Wanita yang didakwa menghina agama Islam di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail, di sini, akan didakwa di Mahkamah Sesyen Siber, di sini, esok. 

 Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, kertas siasatan berhubung kes itu telah dirujuk kepada pejabat Peguam Negara hari ini. 

“Polis mendapat arahan untuk menuduh wanita itu mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan (atas alasan agama menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat).

“Tempoh reman ke atas suspek wanita itu yang tamat hari ini akan disambung sehingga esok,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Turut didakwa esok adalah teman lelaki wanita itu yang akan dituduh mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.

Lelaki itu ditahan reman tiga hari bermula 11 Julai hingga 13 Julai.

Terdahulu, sebuah video berdurasi 54 saat tular di media sosial, minggu lepas, wanita itu mendakwa dirinya beragama Islam serta telah menghafaz 15 juzuk al-Quran lalu menanggalkan baju kurung dan tudungnya hingga mendedahkan aurat.

Perbuatannya itu telah mendapat sorakan dan gelak tawa dalam kalangan penonton kelab berkenaan. – Bernama

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button