Berita UtamaDunia

Israel mesti ‘disenarai hitam’ kerana bunuh kanak-kanak Palestin

78 kanak-kanak dibunuh, 982 cacat akibat serangan rejim

BAITULMAQDIS, 13 Zulhijjah 1443H, Rabu – Negara pengganas Israel harus dimasukkan ke dalam senarai hitam Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) jika keganasannya terhadap kanak-kanak Palestin berulang tahun ini.

Dalam laporan tahunan Konflik Kanak-Kanak dan Bersenjata, PBB berkata, tentera Israel membunuh 78 kanak-kanak Palestin, mencacatkan 982 lagi dan menahan 637 pada 2021.

“Saya terkejut dengan jumlah kanak-kanak yang terbunuh dan cacat oleh tentera Israel ketika pertempuran, dalam serangan udara di kawasan padat penduduk dan melalui penggunaan peluru hidup tatkala operasi penguatkuasaan undang-undang.

“Sekiranya keadaan berulang pada 2022, tanpa peningkatan bermakna, Israel harus disenaraikan,” kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dalam laporan itu.

Menurut Defence for Children International’s Palestine chapter (DCI-P) – yang berpangkalan di Geneva – setakat tahun ini, sekurang-kurangnya 15 kanak-kanak Palestin dibunuh oleh tentera Israel.

Laporan tahunan itu – yang merekodkan pelanggaran berat terhadap kanak-kanak di kawasan konflik di seluruh dunia – telah menimbulkan kontroversi terhadap pihak mana yang termasuk dalam ‘senarai hitam’ pada setiap laporan akhir.

Senarai itu bertujuan untuk memberi tekanan kepada negara dan kumpulan bersenjata di seluruh dunia atas pelanggaran terhadap kanak-kanak yang disahkan oleh PBB.

Israel bagaimanapun tidak pernah berada dalam senarai.

Menurut laporan tahun ini, PBB merekodkan 2,934 pelanggaran berat terhadap 1,208 kanak-kanak Palestin dan sembilan kanak-kanak Israel di Wilayah Palestin dan Israel yang diduduki.

Semua 17 kanak-kanak yang dibunuh oleh tentera Israel di Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur, maut ditembak menggunakan peluru hidup terutamanya ketika demonstrasi, kata laporan itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button